Beri peluang murid prasekolah kenali potensi diri

Dr Salmee berucap merasmikan kejohanan petanque di Sekolah Kebangsaan Padang Lumat, semalam.
Dr Salmee berucap merasmikan kejohanan petanque di Sekolah Kebangsaan Padang Lumat, semalam.
A
A
A

YAN - Murid prasekolah seharusnya diberikan peluang untuk membina potensi diri khususnya dalam bidang sukan.

Exco Pendidikan Kedah, Dr Salmee Said berkata, selain daripada menumpukan perhatian dalam bidang akademik, penyertaan murid prasekolah dalam bidang sukan juga amat penting.

Katanya, penglibatan murid dalam bidang sukan akan dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani; emosi; rohani dan intelek seperti mana yang terkandung dalam falsafah pendidikan negara.

"Kerjasama daripada semua pihak sangat diperlukan dalam meningkatkan mutu pendidikan negara agar setanding dengan negara-negara lain," katanya.

Menurut Dr Salmee, seharusnya penglibatan dalam bidang sukan ini dijadikan sebagai satu penanda aras kepada unit prasekolah.

"Ia bertujuan untuk menggalakkan penyertaan murid dalam bidang sukan khususnya di dalam bidang sukan petanque," katanya ketika merasmikan kejohanan petanque prasekolah peringkat Kedah, di Sekolah Kebangsaan Padang Lumat, semalam.

Menurut Dr Salmee, ini merupakan tahun kedua kejohanan ini dianjurkan dan merupakan satu-satunya kejohanan petanque prasekolah peringkat negeri yang dianjurkan bersama unit prasekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

"Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Sekolah Kebangsaan Padang Lumat, Unit Prasekolah JPN Kedah serta Penyelaras Dun Sungai Limau, Zahran Abdullah kerana berjaya menganjurkan kejohanan petanque ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Salmee berkata, terdapat 85 pasukan petanque prasekolah mengambil bahagian datang dari pelbagai daerah sekitar Kedah.

"Kita berharap, pada masa akan datang lebih banyak penyertaan dicatatkan bagi membolehkan lebih ramai murid berpeluang mengenali potensi diri mereka," katanya.