Bapa campak anak dari jejambat alami masalah mental

Lelaki warga Myanmar dan dua kanak-kanak maut selepas jatuh dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto PDRM
Lelaki warga Myanmar dan dua kanak-kanak maut selepas jatuh dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah mental dipercayai punca seorang lelaki Myanmar tergamak mencampak tiga anaknya dari jejambat setinggi 20 meter di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum terjun di tempat sama, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dua anaknya yang berusia enam dan tujuh tahun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang dianggarkan berusia lima tahun kritikal.

"Ibu kanak-kanak berkenaan, warga Myanmar juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah dirakam keterangan semalam (Selasa).

"Hasil siasatan awal kita percaya suspek mengalami masalah mental menyebabkan dia melakukan perkara itu," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.

Eng Lai berkata, mangsa yang terselamat berada dalam keadaan kritikal dan diberikan ubat pelali oleh pasukan perubatan di Hospital Selayang.

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan, dua kanak-kanak warga Myanmar maut akibat dicampak bapa mereka dari jejambat di Jalan MRR2 di sini.

Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun itu dilihat berjalan sambil menggendong seorang kanak-kanak manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.

Polis dalam kenyataan berkata, kesemua kanak-kanak dan suspek terbabit ditemui berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya di sini.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mangsa dipercayai warga Myanmar kerana pemeriksaan di lokasi menemui dua kad UNHCR untuk orang pelarian milik suspek dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.