Tiga graduan berhenti kerja untuk ternak kelulut

Graduan kejuruteraan Yuzaidi bersama Ahmad Khirul (kanan) menyedut madu kelulut ketika ditemui di ladang kelulut “Three Brothers Bee Farm” di Kampung Kubang Kiat, di sini.
Graduan kejuruteraan Yuzaidi bersama Ahmad Khirul (kanan) menyedut madu kelulut ketika ditemui di ladang kelulut “Three Brothers Bee Farm” di Kampung Kubang Kiat, di sini.
A
A
A

KOTA BHARU- Enggan berpisah jauh daripada keluarga dan pendapatan yang tak seberapa mendorong tiga graduan bersaudara berhenti kerja dan membuat keputusan pulang ke kampung untuk mengusahakan ternakan kelulut.

Yuzaidi Marzuki, 31, Mohd Airil Che Sadom, 30, dan adiknya Ahmad Khirul, 26, dari Kampung Kubang Kiat, di sini merasakan kehidupan mereka kini lebih sempurna dengan pendapatan yang lumayan dan banyak masa lapang yang boleh diisi bersama keluarga serta rakan-rakan

Sejak menternak kelulut, pendapatan saya dan rakan kongsi adalah antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan, melebihi gaji graduan yang memiliki segulung ijazah,” kata Yuzaidi.

Yuzaidi yang merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Dungun Terengganu ketika ditemui berkata, seperti graduan muda lain yang bekerja makan gaji selepas menamatkan pengajian, beliau turut meninggalkan keluarga untuk bekerja di sebuah kilang di Shah Alam Selangor.

“Walaupun mempunyai diploma di bidang kejuruteraan mekanikal, saya hanya diambil bekerja sebagai operator pengeluaran,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladang kelulut “Three Brothers Bee Farm” di Kampung Kubang Kiat, di sini.

Yuzaidi berkata beliau dibayar RM650 sebulan dan boleh mencecah RM1,500 sebulan dicampur dengan kerja lebih masa dan dengan pendapatan itulah, beliau membayar sewa bilik, makan minum dan sedikit untuk hiburan diri sendiri sehingga tiada ruang baginya untuk menabung bagi masa depan.

“Untuk diberikan kepada emak ayah di kampung pun tak cukup dan selalu juga terpaksa menebal muka minta pinjam daripada orang tua untuk menampung sara hidup di bandar.

“Bila bekerja lebih masa, peluang untuk pulang ke kampung berjumpa emak ayah agak susah ditambah dengan cuti mingguan yang singkat, saya pula anak tunggal, mana boleh lama tak jumpa orang tua” katanya yang sempat bekerja hampir dua tahun di kilang berkenaan.

Bagi Mohd Airil pula, beliau berkecimpung dengan industri ternakan kelulut selepas meninggalkan ladang lada seluas seekar yang diusahakannya atas tanah milik Politeknik Jeli di Kampung Joh Labok di Machang.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrikal mengambil keputusan meninggalkan ladang ladanya kerana tidak setuju dengan tindakan pihak pengurusan mengguna racun perosak untuk menghalau serangga.

“Sebab itu saya menyerahkan ladang yang sedang berbuah kepada pihak pengurusan Politeknik dan kembali ke kampung,” katanya yang lebih menggemari pertanian organik.

Sementara itu Ahmad Khirul yang merupakan graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan sijil Penghawa Dingin berkata beliau sempat bekerja tiga bulan sebagai penjaga penyaman udara di sebuah kilang di Negeri Sembilan.

Katanya kerja yang tidak menentu masa menjadikan tiada masa untuk dirinya sendiri dan akhirnya memilih untuk menyertai Yuzidi dan Mohd Airil.

Pada peringkat awal mereka bertiga mencari benih kelulut liar di hutan dan masukkan ke dalam batang kayu yang dijadikan 'rumah' atau koloni kelulut. Tetapi sejak dua tahun lalu, mereka memindahkan kelulut ke dalam ‘haive mustafa’ iaitu kotak yang diperbuat daripada kayu meranti.

Mohd Airil berkata sejak dimasukkan ke ‘rumah’ yang lebih selesa, koloni kelulut semakin bertambah dan setelah empat tahun mereka kini memiliki kira-kira 400 koloni kelulut dengan hasil tuaian lebih 200 kilogram madu sebulan.

Hasil tuaian madu kelulut berbeza mengikut musim. Sekiranya musim buah, hasilnya akan lebih tinggi. Kelulut di ‘Three Brothers Farm’ memakan madu dari bunga durian, langsat, dukung, mangga dan bungai air mata pengantin yang banyak terdapat di sekitar rumah di samping menghisap madu daripada bunga getah.

Mereka menternak kelulut dari jenis Thormate, Itama dan Thorasika yang banyak terdapat di kawasan kampung.- Bernama