Rezeki bahan terbuang

Mek Hawa (kanan) mendapat bimbingan dari Empower Tanah Merah.
Mek Hawa (kanan) mendapat bimbingan dari Empower Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Siapa sangka tempurung kelapa yang pada kebiasaannya dibuang selepas isi kelapa diproses sebagai santan rupanya mampu menjana pendapatan lumayan.

Peluang itu tidak disia-siakan seorang ibu tunggal, Mek Hawa Dollah,56, di Kampung Gobek, Gual Ipoh yang mengusahakan perusahaan arang tempurung kelapa selepas melihat pasaran dan permintaan bahan itu mampu mengubah nasib dirinya.

Mek Hawa yang digantung tidak bertali oleh suaminya, mula mengambil keputusan menyertai perusahaan arang tempurung ini melalui pendedahan program Empower Ecer yang dikelolakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Tanah Merah sejak lebih setahun lalu.

"Sejak dari itu selepas mengikuti program terbabit, maka saya tekad menyertai kursus melalui Empower selama enam bulan mengenai pengendalian arang tempurung dan prospek, akhirnya selepas itu saya mula menjalankan perusahaan ini.

"Walaupun saya tidak laburkan modal besar, namun saya mula yakinkan diri jika saya lakukan dengan bersungguh-sungguh maka saya akan berjaya,"katanya.

Mek Hawa berkata, pendapatan untuk sehari juga lumayan apabila mampu memperolehi RM400 sehari dan sia amat bersyukur di atas rezeki itu.

Dek kerana kecekalannya itu, dia juga turut dinobatkan sebagai peserta wanita terbaik dalam perusahaan itu bukan sahaja di Kelantan malah di Tanah Merah dan turut menjadi contoh kepada usahawan lain.

Menurut Mek Hawa, proses menghasilkan arang tempurung kelapa tidaklah rumit dan dia hanya akan mendapatkan bekalan tempurung kelapa dari pembekal santan yang berniaga di sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Kebiasaannya mereka buang tempurung kelapa dan hanya ambil isi kelapa untuk dapatkan santan,namun apabila saya jalankan perusahaan ini, ramai yang bekalkan tempurung kelapa ini pada saya dan ada yang bagi percuma.

"Alhamdullilah perusahaan ini tidaklah memerlukan tenaga yang banyak namun haruslah dijalankan bersungguh-sungguh dan saya tidak jadikan halangan walau bekerja seorang diri, saya mampu lakukannya," katanya.