Jenazah tiga beranak rentung selamat dikebumikan

Anak-anak pasangan berkenaan memberi penghormatan terakhir kepada kedua ibu bapa dan adik bongsu mereka di Tanah Perkuburan Felda Chuping malam tadi.
A
A

CHUPING - Hujan lebat mengiringi pengebumian jenazah tiga beranak yang rentung dalam kebakaran rumah di Pengkalan Nelayan Sungai Tepa, Bukit Malut semalam.

Ketiga-tiga jenazah berkenaan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Felda Chuping kira-kira jam 10 malam tadi selepas disembahyangkan di Masjid Felda Chuping, di sini.

Dianggarkan 100 orang sanak saudara dan kenalan rapat turut hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Mohd Nahar Suhaimi, 39, isterinya, Noorsuhaila Hamat, 41 serta anak bongsu pasangan itu, Muhammad Nawfal, 6,

Pasangan berkenaan meninggalkan empat anak perempuan iaitu Nursyafanis Mohd Nahar, 20, Nur Syafinas, 18, Nur Syafina, 18, (kembar Nur Syafinas) dan Nur Saleha, 11.

Abang kepada Allahyarhamah Noorsuhaila, Khairul Hamat, 40-an ketika ditemui bersyukur urusan pengebumian pada malam ini berjalan lancar walaupun hujan lebat.

Ketika ditanya berkenaan penjagaan anak-anak pasangan berkenaan, beliau berkata, keputusan itu terletak kepada empat beradik terbabit.

"Kita biar depa buat keputusanlah dalam keadaan sekarang ni kita pun tak boleh nak cakap apa.Tapi malam ni Insya-ALLAH depa duduk rumah tokwan depa",katanya.

Siang tadi Nursyafanis yang juga penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA)bersama tiga adiknya hadir ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah bagi melakukan pengecaman jenazah.

Dalam kejadian 7.00 semalam, tiga beranak itu ditemui rentung dalam keadaan menyayat hati selepas rumah mereka terbakar.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian kesemua mangsa adalah disebabkan lemas dan terbakar akibat kebakaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beranak maut dalam kebakaran