Ribut rosakan kenderaan di Bukit Aman

Antara kenderaan yang remuk dihempap pokok tumbang petang tadi.
Antara kenderaan yang remuk dihempap pokok tumbang petang tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Ribut dan angin kencang yang melanda sekitar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang tadi menyebabkan pokok tumbang dan menghempap kira-kira 15 kenderaan yang diletakkan di kawasan sekitar.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang terdapat cermin kaca bangunan pecah dan bumbung tercabut.

Menurutnya, sebanyak lima pokok tumbang di tempat letak kereta bersebelahan landasan KTM yang menyebabkan tiga kereta Proton Preve milik PDRM mengalami kerosakan.

Turut remuk dihempap pokok tumbang, lapan kereta milik anggota dan pegawai polis.

Kerja-kerja memotong pokok yang tumbang dan mengeluarkan kenderaan dilakukan dengan bantuan pihak DBKL.
Kerja-kerja memotong pokok yang tumbang dan mengeluarkan kenderaan dilakukan dengan bantuan pihak DBKL.

"Kejadian angin kencang dan ribut menyebabkan pagar elektrik di kawasan Bukit Aman alami kerosakan. Kejadian disedari oleh anggota pengawal pada jam 4.20 petang ketika hujan masih lebat.

"Kejadian pokok tumbang di hadapan sebuah taska turut mengakibatkan sebuah kereta Proton Preve milik PDRM dan dua kereta pegawai polis rosak.

"Sebuah lagi kereta milik PDRM rosak terkena dahan yang tumbang di depan podium jalan utama ke lobi Menara 2," katanya.

Artikel Berkaitan:

Asmawati berkata, pokok tumbang di sebelah Pos Pengawal Pintu B melibatkan kerosakkan pada sebahagian bumbung pos pengawal.

"Ribut menyebabkan dinding kaca di sebelah tepi Menara 1 pecah dan bumbung taska tercabut menyebabkan air hujan masuk ke dalam taska.

"Bahagian depan bangunan unit penyelenggaraan dan elektrikal juga telah tercabut menyebabkan air masuk ke dalamnya.

"Setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah datang membantu potong pokok yang tumbang. Sehingga jam 7.15 malam tadi, kesemua kenderaan berjaya dikeluarkan dari runtuhan dan pokok tumbang," katanya.