PRK Rantau: Jangan takut calon bukan Melayu, pesan Anwar

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika bertemu masyarakat India Kuala Sawah sempena tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau. - Foto Bernama
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika bertemu masyarakat India Kuala Sawah sempena tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Tidak ada masalah untuk mana-mana bangsa menjadi pemimpin negara asalkan mereka pemimpin yang baik, bersih dan tidak mengamalkan rasuah, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mempertahankan pilihan PH meletakkan calon berbangsa India pada PRK DUN Rantau, Dr S. Streram berkata, tidak timbul soal risiko kepada survival Melayu dalam PRK berkenaan sekiranya sokongan diberikan kepada PH.

"Kaum Melayu akan ‘survive’ kalau kita ada pemimpin yang baik, bersih, serta tidak korup, dan bukan setakat kaum Melayu sahaja, kaum lain juga.. Cina, India, Kadazan pun akan survive.

"Tetapi kalau lantik (pemimpin) dari kaum Melayu korup, zalim.. kaum India, Cina, Melayu pun takkan survive. Jadi tak perlu takut pilih calon bukan Melayu," katanya di ceramah sempena kempen PRK berkenaan di Taman Angsamas, di sini, malam ini.

Turut hadir pada ceramah berkenaan ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga Menteri Pertahanan.

Mohamad dalam ucapannya turut mengkritik propaganda sesetengah pihak yang menurutnya tidak bertanggungjawab yang dilihat sengaja memainkan isu survival Melayu, malah menurutnya sehingga ada yang menuduh parti komponen PH sebagai 'barua DAP'.

Katanya tidak mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang dahulunya juga dikenali sebagai pro Melayu dan pernah menulis buku 'The Malay Dilemma' akan berbuat demikian.

"Macam itu juga Anwar Ibrahim, yang keluar masuk penjara, duduk di penjara lagi lama (daripada) berada di luar (penjara), takkan dia nak mempersia-siakan perjuangannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK Rantau pada 13 April ini menyaksikan persaingan empat penjuru antara calon PH Dr S Streram, calon BN yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu bekas pensyarah Mohd Nor Yassin dan suri rumah R Malarvizhi.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad Hasan yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.

Sementara itu bercakap kepada pemberita di satu majlis lain, Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata beliau akan memastikan limpahan pembangunan yang dinikmati Port Dickson akan turut dirasai penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Anwar berkata ini memandangkan DUN Rantau terletak bersebelahan dengan kawasan yang diwakilinya.

"Sejak saya menjadi Ahli Parlimen Port Dickson, ada beberapa projek baharu seperti pelancongan, dan syarat (yang ditetapkan) mereka (pelabur) mesti memberikan latihan kerja kepada anak tempatan.

"...saya ingat pembangunan ini harus diperluaskan supaya tidak hanya tertumpu kepada suatu daerah tertentu sahaja," katanya kepada pemberita selepas program ceramah umum di Taman Sri Ramai, Rantau di sini malam ini.

Mengulas pertanyaan pemberita bahawa terdapat dakwaan kononnya Dr Streram, yang menjadi calon PH di PRK Rantau tidak dikenali penduduk tempatan, Anwar menafikannya dan menyatakan pakar bius itu sudah bekerja di situ sejak beberapa tahun lepas. - Bernama