Penduduk Rantau teruja terima kunjungan TPM

Dr Wan Azizah (kanan) ketika menziarahi pesakit angin ahmar Au Moi @ Au Peng Kan, 80, di rumahnya di Kampung Kuala Sawah ketika berkempen sempena PRK DUN N27 Rantau, hari ini. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah (kanan) ketika menziarahi pesakit angin ahmar Au Moi @ Au Peng Kan, 80, di rumahnya di Kampung Kuala Sawah ketika berkempen sempena PRK DUN N27 Rantau, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Menerima kunjungan orang kenamaan ke rumah bukan perkara yang selalu berlaku, apatah lagi kunjungan seseorang yang berjawatan timbalan perdana menteri.

Namun, bagi beberapa keluarga di perumahan Taman Sri Ramai, Rantau di sini, hari ini menjadi satu detik istimewa apabila Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail singgah dan meluangkan masa di kediaman mereka.

Bagi L Manikum, 70, hari ini adalah hari yang sangat menggembirakan bagi dirinya sekeluarga.

"Lebih 40 tahun saya dan keluarga di sini, tak pernah ada menteri melawat," katanya kepada Bernama.

Bekas pemandu lori berkenaan tinggal bersama isterinya, M Mariayee, 69, yang menghidapi penyakit kencing manis, dan empat orang anak. Isterinya yang merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kini terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda selepas tulang kakinya retak akibat terjatuh, perlu melalui rawatan dialisis dua kali seminggu.

Mengulas mengenai lawatannya, Dr Wan Azizah yang meluangkan masa kira-kira 10 minit di setiap rumah, berkata beliau akan cuba melihat jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada setiap keluarga yang memerlukan.

"Saya tadi melawat dan melihat keadaan, tengok apa-apa yang kita boleh tolong dan beri bantuan," kata Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kepada pemberita secara ringkas sebaik selesai lawatannya.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Roslan Md Shah, 63, yang tinggal selang beberapa buah rumah daripada Manikum, turut berbangga menerima kunjungan timbalan perdana menteri ke kediamannya.

Artikel Berkaitan:

"Belum pernah kita lalui benda yang macam ini," katanya yang tinggal di kediaman berkenaan bersama isteri, dua orang anak, dan ibu mertuanya yang juga penerima bantuan JKM.

Penduduk di perumahan berkenaan antara yang akan mengundi pada PRK DUN Rantau 13 April ini.

PRK berkenaan menyaksikan persaingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S Streram, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu R Malarvizhi serta Mohd Nor Yassin. -Bernama