Lelaki OKU ditahan kes pecah rumah, curi motosikal

No Image Caption
A
A
A

PARIT - Polis menahan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai terlibat secara aktif dalam beberapa kes pecah rumah serta mencuri motosikal di sekitar Parit dan Bota, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata suspek berumur 32 tahun yang kudung kaki kanan itu ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Tun Razak, Ipoh, pada pukul 12.15 tengah malam, dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah secara bersendirian sejak sebulan yang lepas.

“Penahanan suspek membawa kepada rampasan sebuah motosikal Honda EX5, dua jam tangan berlainan jenama, sebilah gunting, dua playar muncung berhulu plastik, satu playar berhulu besi dan sebilah pisau pemotong sayur. "Hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379A KK, Seksyen 379 KK, Seksyen 448 KK dan Seksyen 411 KK," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya ujian saringan awal kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah, dan kes akan disiasat mengikut mengikut Seksyen 379 A KK dan Seksyen 457 KK.

Dalam perkembangan lain Mohamad Zainal berkata, 111 individu ditahan dalam operasi membanteras penagih dan penyalahgunaan dadah di sekitar Perak Tengah sepanjang bulan lalu, di mana tiga daripadanya adalah pengawal keselamatan sebuah sekolah berusia antara 21 dan 27 tahun yang didapati positif dadah jenis methaphatemine. - Bernama

Artikel Berkaitan: