Wanita maut, van rempuh lori

Keadaan kemalangan membabitkan sebuah van dan lori diKM23 Jalan Klang-Banting/Port Dickson.
A
A

KUALA LANGAT - Seorang penumpang wanita maut selepas van yang dinaikinya rempuh belakang lori di KM23 Jalan Klang-Banting/Port Dickson, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Azizan Tukiman berkata, dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu, mangsa, Zurina Aini [email protected], 38, maut di tempat kejadian manakala pemandu van berkenaan, Amiruddin Awang, 48, hanya mengalami kecederaan ringan akibat insiden itu.

"Pemandu van mengalami retak pada tangan kiri, sakit dada dan bengkak di bahagian kepala.

"Manakala pemandu lori berusia 43 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan ekoran kejadian itu," katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata menerusi siasatan awal di lokasi kejadian pihaknya mendapati lori berkenaan dipercayai telah memberhentikan kenderaannya di persimpangan lampu isyarat yang berada dalam keadaan merah sebelum dirempuh oleh van terbabit dari arah belakang.

Beliau berkata, akibat daripada pelanggaran itu, pemandu van berkenaan telah tersepit manakala penumpang di bahagian belakang telah tercampak ke hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat manakala pemandu van juga telah mendapatkan rawatan di hospital sama.

"Menerusi pemeriksaan juga polis mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai rekod tiga saman lampau," katanya.

Tambah beliau, polis juga telah merakam percakapan pemandu van dan lori berkenaan malah waris mangsa juga telah dikesan bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.