SPR, UNDP jalin kerjasama reformasi pilihan raya Malaysia

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menandatangani perjanjian dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) bagi reformasi pilihan raya negara ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, perjanjian Sokongan Reformasi Pilihan Raya Malaysia (MERS) bermula bulan ini sehingga Disember 2020 di bawah naungan Country Programme Action Plan 2016-2020 antara kerajaan Malaysia dan UNDP.

"Kerjasama ini melibatkan perkongsian kos sebanyak RM6.4 juta (AS$1.6 juta) yang sebahagian besarnya disediakan oleh pihak UNDP dan selebihnya oleh kerajaan Malaysia," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Azhar berkata melalui kerjasama itu, UNDP akan memberi bantuan dan khidmat konsultansi teknikal kepada SPR khususnya dalam proses penambahbaikan daftar pemilih serta pembangunan kapasiti melalui program Building Resources in Democracy, Governance and Elections (BRIDGE).

"Program kolaborasi ini akan memperkukuhkan fungsi SPR dan memberikan faedah kepada keseluruhan pengurusan operasi pilihan raya agar lebih telus, diyakini bersih dan adil," katanya.

Menurut Azhar, kerjasama itu juga selaras dengan Tonggak 1, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu Mereformasi Tadbir Urus Ke Arah Meningkatkan Ketelusan dan Kecekapan Perkhidmatan Awam. -Bernama

Artikel Berkaitan: