X

Kindly register in order to view this article
!

Puteri, Pemuda UMNO mahu pastikan bos menang

Puteri UMNO memulakan kempen rumah ke rumah di Kampung Sendayan, hari ini.
A
A

SEREMBAN - Sayap Puteri dan Pemuda UMNO akan berusaha keras memastikan 'bos' mereka iaitu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menang di PRK DUN Rantau.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kemenangan Mohamad yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO amat penting kerana melambangkan imej beliau sebagai ketua parti.

"Jentera kita amat bersemangat berkempen dari rumah ke rumah, walkabout dan kempen di media sosial. Kebanyakan penduduk yang kita jumpa kata tiada sebab mereka tidak mengundi Tok Mat.

ARTIKEL BERKAITAN: Masa Tok Mat sudah berlalu: Mohd Hatta

"Sebab Tok Mat anak Rantau, banyak jasa dan sentiasa ada di sini. Tok Mat adalah produk terbaik daripada UMNO-BN," katanya ketika ditemui selepas program ziarah di Kampung Sendayan, di sini, hari ini.

Zahida Zarik Khan
Zahida Zarik Khan

Katanya, Mohamad perlu diberi peluang menang dan seterusnya bersuara mewakili rakyat di sidang DUN.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata, pengaruh besar dimiliki Mohamad memudahkan jentera untuk mempromosikan beliau dalam kempen.

"Tok Mat adalah bukti apabila seorang calon itu diletakkan pada tempatnya, ia membawa satu kelebihan dan kekuatan kepada jentera kempen.

"Pengalaman di PRK Cameron Highlands dan Semenyih menunjukkan bahawa calon yang terbaik perlulah diletakkan di kawasan tersebut. Dalam kes di Rantau, adalah satu bonus kepada BN kerana orang yang terbaik adalah Ketua Bahagian dan juga Timbalan Presiden parti," katanya dalam program bertemu penduduk di Bandar Ekar, di sini.

Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

Bagaimanapun, katanya, BN tidak boleh terlalu selesa dengan sokongan baik diterima setakat ini.

"Sesiapa calon BN yang kalah pun memberi impak besar, apatah lagi kepada seorang yang menjalankan tugas Presiden UMNO. PRK ini memberi satu erti yang lebih daripada biasa.

"Jangan pandang mudah walaupun kita yakin dengan gelombang BN sekarang ini. Kita tidak boleh terlalu yakin," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus