Faktor keselamatan: Sambutan Hari Hak Asasi Manusia tangguh

Fuzi
Fuzi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Risiko keselamatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan orang awam antara faktor utama Sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata pihak polis telah menasihatkan penganjur supaya menangguhkan sambutan berkenaan berikutan perhimpunan ‘kesyukuran’ bagi meraikan langkah kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang berlangsung pada hari yang sama.

“Ia dibatalkan kerana ada kaitan dengan perhimpunan ICERD pada petang ini kemudian ada juga isu-isu keselamatan yang kami khuatir jika diadakan serentak.

“Maka kami bagi nasihat pada penganjur sambutan berkenaan supaya menangguhkan pada esok (Ahad),” katanya pada sidang media sempena majlis berkhatan perdana Polis Diraja Malaysia 2018, di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata bentuk ancaman yang dijangka berlaku tidak boleh didedahkan, namun pihak polis memandang serius isu keselamatan negara termasuk keselamatan orang awam.

“Perdana Menteri (Tun Mahathir) juga dijadual hadir pada sambutan di padang berkenaan dan kami sebagai pasukan keselamatan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan beliau serta rakyat Malaysia.

Sekiranya apa-apa terjadi pada sambutan itu, kami juga yang akan dipersalahkan kemudian,” katanya.

Semalam, sambutan Hari Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk memperingati Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 telah dijadualkan semula kepada esok.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata bahawa venue dan masa acara itu tetap sama iaitu di Padang Timur, Petaling Jaya, dari 9 pagi hingga 3 petang dan berkata penangguhan sambutan esok dibuat atas nasihat pihak berkuasa. - Bernama

12.32 tengah hari: Sekumpulan peserta Himpunan ICERD bergerak sambil melaungkan slogan "Bangkit Ummah" di perkarangan Masjid Negara.

12.33 tengah hari: Suasana meriah di Masjid Jamek yang dibanjiri peserta himpunan.

12.35 tengah hari: Peserta menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita.