Bicara kes SRC Najib: 100 pas disediakan untuk media

Najib -Foto Bernama
Najib -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 100 keping pas telah disediakan untuk pengamal media tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan perbicaraan kes yang dihadapi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, di Mahkamah Tinggi esok.

Seorang pegawai yang menguruskan pendaftaran pihak media berkata sebanyak 30 keping pas berwarna merah jambu disediakan bagi wartawan tempatan dan antarabangsa yang mengikuti prosiding di dalam mahkamah terbuka, 20 pas berwarna oren untuk prosiding di bilik tayangan video dan 50 pas berwarna biru akan diedarkan kepada jurufoto dan jurukamera yang ditempatkan di lobi Kompleks Mahkamah.

"Kaunter pendaftaran akan dibuka pada pukul 12.30 tengah hari bagi pihak media mendapatkan pas masing-masing," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata bilik tayangan video akan ditempatkan di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Aras 4, Sayap Kanan dan hanya seorang wakil daripada agensi berita dibenarkan masuk ke dalam bilik berkenaan.

"Namun, sekiranya terdapat ramai wartawan, pihak kami akan mempertimbangkan untuk menambah satu lagi bilik tayangan video dengan menambah 20 lagi pas," katanya. Seramai 16 orang wartawan daripada media tempatan yang dibenarkan masuk ke dalam mahkamah terdiri daripada Bernama, RTM, TV3, Astro Awani, seorang wakil daripada NSTP Group dan Utusan Melayu, Sinar Harian, The Star, Oriental Daily, China Press, Malay Mail, Malaysiakini, Free Malaysia Today, Malaysia Gazette, The Edge dan The Malaysian Insight.

Selain itu, 14 wartawan dari media antarabangsa terdiri daripada AFP, AP, CNN, BBC, Reuters, Bloomberg, The Asahi Shimbun, Nikkei, Dow Jones Newstimes, Fairfax Media, The Financial Times, The Guardian, Al-Jazeera dan Kyodo News.

Kes berkenaan akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Mohd Nazlan Mohd Ghazali di aras lima, sayap kanan dan dijangka seramai tiga orang saksi terdiri daripada pegawai kerajaan dan bank, akan memberi keterangan.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa buah meja turut diletakkan di aras lima di luar mahkamah di mana prosiding berlangsung untuk menghalang orang awam daripada melalui kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Julai 2018, Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, bekas perdana menteri itu didakwa lagi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa. -Bernama