KPDNHEP tumpas cubaan seleweng minyak masak di Sandakan

Azdy (kiri) memeriksa minyak masak yang disita dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawa 2, Batu 12, Jalan Sin Kee, Sandakan pada Rabu.
Azdy (kiri) memeriksa minyak masak yang disita dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawa 2, Batu 12, Jalan Sin Kee, Sandakan pada Rabu.
A
A
A

SANDAKAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan berjaya menumpaskan cubaan menyeleweng sebanyak 15,048 kilogram (kg) minyak masak dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jawa 2, Batu 12, Jalan Sin Kee di sini pada malam Rabu.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.30 malam itu, rampasan terbabit turut melibatkan minyak masak peket bersubsidi sebanyak 436 kotak.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa selepas risikan selama seminggu berhubung aktiviti itu.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 7,412kg minyak masak peket satu kilogram bersubsidi pelbagai jenama, lima tangki putih berisi 7,500kg minyak masak dan 136 kg minyak masak di dalam lapan tong plastik berjaya dirampas.

"Jumlah keseluruhan minyak masak terbabit adalah sebanyak 15,048kg dan disyaki untuk diseleweng," katanya dalam kenyataan pada petang Khamis.

Katanya lagi, ketika serbuan dibuat, tiada individu berjaya dikesan di lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP kemudian kemudian bertindak menyita semua minyak masak bersubsidi berkenaan dengan nilai rampasan RM37,620," katanya.

Azdy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

"Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal," katanya.