Husam rakam penghargaan kepada Yang di-pertuan Agong

Husam semasa menyampaikan ucapan di pejabat KADA di sini.
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baharu, Senator Datuk Husam Musa merakamkan ucapan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas memperkenankan pelantikannya mengemudi agensi itu.

Menurutnya, pelantikan tersebut sangat bermakna kepada beliau dan berharap mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada semua pihak terutamanya keluarga KADA sendiri dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

"Di Kelantan, satu pertiga daripada kawasan KADA mengalami masalah kekurangan air melibatkan sekitar 2,500 orang pesawah.

"Ini akan menyebabkan pendapatan mereka sedikit sebanyak akan merosot," katanya.

Beliau berkata, biarpun kehadirannya masih baharu, namun mendapat kerjasama baik daripada pengurusan KADA.

"Saya belum biasa sepenuhnya di sini, tetapi rakan-rakan pengurusan KADA mempunyai pengalaman dan mereka boleh membantu untuk mengatasi masalah ini," jelasnya.

Husam menerima pelantikan tersebut daripada Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Beliau berharap semua pihak akan memberi kerjasama yang baik dan berdoa semoga semua urusan dipermudahkan ALLAH SWT.