LKIM syor pertingkat kawalan di perairan negara

Muhammad Faiz melihat pendaratan ikan di komplek perikanan di Chedering dan Besut.
Muhammad Faiz melihat pendaratan ikan di komplek perikanan di Chedering dan Besut.
A
A
A

KUALA BESUT - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap pihak berkuasa Maritim dan Polis Marin mempertingkatkan kawalan di perairan negara bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, agensi tersebut diharapkan meningkatkan operasi untuk mengelak kehilangan hasil tangkapan di perairan negara akibat kerakusan nelayan asing itu.

Menurutnya, negara mengalami kerugian sebanyak kira-kira RM3 hingga RM6 bilion setahun akibat hasil laut ditangkap oleh nelayan asing dan ia adalah satu kerugian besar.

“Berlaku ketirisan di tengah laut yang bukan sahaja merugikan malah menyebabkan harga ikan tinggi kerana berlaku kekurangan bekalan ikan menyebabkan ikan terpaksa dibeli atau diimport dari tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama nelayan Besut di Kompleks LKIM Besut di sini.

Hadir sama Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut, Tengku Harun Ku Ismail dan Pengurus Besar LKIM Besut, Mohd Aziz Omar.

Muhammad Faiz berkata, penguatkuasaan yang lebih kerap sudah tentu akan dapat memastikan perairan negara dapat dilindungi sekali gus mengelak ketirisan berterusan berlaku.

“Penguatkuasaan juga perlu diperkemaskan merangkumi kawalan di sempadan zon atau sempadan perairan negara kerana sekiranya masalah ini dapat dikurangkan, sudah tentu rakyat dan nelayan juga dapat dibela,” katanya yang turut menghargai peranan yang telah dimainkan agensi terbabit selama ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, LKIM bimbang sekiranya masalah ini tidak dapat ditangani ia akan menyumbang kepada kebajikan nelayan asing di perairan negara.

“Satu tindakan bersepadu perlu diberikan perhatian serius dalam menangi isu ini dan saya akan berjumpa dengan pihak terbabit untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Sementara itu pada majlis sama, Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan dan touch point kepada nelayan di sini seperti peralatan nelayan, akuakultur dan pampasan unjam.