Tiga negeri catat kurang 50 peratus suntikan vaksin kanak-kanak

Seramai 1.7 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. - Foto 123rf
Seramai 1.7 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga negeri mencatatkan jumlah penerima vaksin Covid-19 yang rendah melibatkan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, negeri terbabit adalah Kelantan, Terengganu dan Sabah.

“Sepanjang kita buat program vaksinasi ini, negeri pantai timur tidak dapat memberikan kebenaran yang baik.

“Contohnya di Kelantan hanya 16 peratus, Terengganu 20 peratus dan di Sabah 34 peratus.

“Ini tiga negeri terbawah yang tidak mencapai 50 peratus (dalam penerimaan vaksin kepada kanak-kanak),” katanya sewaktu pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) yang bertanyakan adakah kerajaan mempunyai langkah tertentu bagi memastikan kanak-kanak diberikan vaksin Covid-19.

Menjawab mengenai statistik penerima vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak di negara ini, Noor Azmi berkata, seramai 1.7 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

"Sejumlah 1,485,265 atau 41.8 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

"Seramai 1,518,773 belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dan daripada jumlah tersebut 294,750 kanak-kanak belum layak untuk diberikan vaksin kerana belum mencapai umur lima tahun," katanya.