PBT perlu pantau lokasi tiada kemudahan OKU

Alan mengalami kesukaran untuk menggunakan tangga kerana perlu memegang tongkat serta tangga bagi mengelakkan terjatuh
A
A

SHAH ALAM - Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) digesa untuk membuat pemantauan di kawasan tumpuan ramai bagi memastikan kemudahan-kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) serta warga emas disediakan dengan baik.

Bekas Presiden Pertubuhan Orang Cacat Cina Malaysia, Alan Tan Heng Kim berkata, perkara ini perlu diambil perhatian kerana masih banyak premis makanan, bank atau lot kedai yang tidak mesra OKU/warga emas di sekitar Shah Alam.

Menurutnya, keadaan itu bukan saja menyukarkan warga OKU sepertinya, malah menghalang golongan itu untuk berdikari dalam menjalankan rutin harian.

"Apabila kemudahan tidak disediakan, sukar untuk bergerak sendiri dan setiap masa perlu mengharapkan bantuan orang lain.

"Tapi jika kemudahan OKU antaranya seperti laluan khas di siar kaki, tempat letak kereta khas dan tandas khas disediakan, ia sangat memudahkan kami," katanya memberitahu, MBSA perlu ambil maklum pelan bangunan dan memastikan disyaratkan dalam kebenaran merancang.

Alan menunjukkan aduan melalui emel yang dihantar beliau kepada pengurusan bank terbabit pada 27 Disember 2018.
Alan menunjukkan aduan melalui emel yang dihantar beliau kepada pengurusan bank terbabit pada 27 Disember 2018.

​Terdahulu, Alan yang juga Bekas Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat aduan berkenaan tiada kemudahan OKU atau laluan khas untuk ke sebuah bank di Jalan Setia Prima F U13/F, Setia Alam, di sini.

Katanya, hanya tangga disediakan di situ dan sudah tentu warga OKU dan warga emas tidak dapat menjalankan urusan tanpa bantuan pengiring.

"Sepatutnya perlu ada laluan khas di kaki lima bank di sini, supaya OKU bertongkat atau berkerusi roda mahupun warga emas dapat menggunakannya.

"Saya dah adukan perkara ini kepada MBSA sebanyak dua kali tetapi masih belum mendapat maklum balas, malah perkara itu turut dimaklumkan kepada pengurusan bank terbabit tetapi jawapan diterima juga mengecewakan," katanya berharap perkara itu dapat diambil tindakan segera oleh pihak terlibat.

Perkara itu juga ada dipanjangkan ke pengetahuan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta Adun Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dan mendapat maklum balas bahawa aduan itu diambil perhatian.

Alan (kanan) bersama Pegawai Khas Adun Kota Anggerik, Akif Ruzaini melihat kawasan bank di Jalan Setia Prima F U13/F, Setia Alam yang tidak dilengkapi laluan khas untuk OKU dan warga emas.
Alan (kanan) bersama Pegawai Khas Adun Kota Anggerik, Akif Ruzaini melihat kawasan bank di Jalan Setia Prima F U13/F, Setia Alam yang tidak dilengkapi laluan khas untuk OKU dan warga emas.

Menurutnya, tinjauan dilakukan di kawasan restoran sekitar juga mendapati tiada kemudahan OKU seperti laluan khas disediakan, malah petak tempat letak kenderaan khas OKU juga perlu ditambah.

Alan berkata, selain PBT, pemaju juga sepatutnya memasukkan pelan penyediaan infrastruktur OKU dalam bangunan yang hendak dibina atau pemilik premis boleh membuat pengubahsuaian untuk mewujudkan kemudahan tersebut.

Sementara itu, Mohd Najwan memberitahu pihaknya mengambil maklum tentang aduan dan cadangan dari Alan berkaitan masalah ketiadaan tanjakan laluan khas OKU bagi ke bangunan yang tinggi aras lantai khususnya kawasan tumpuan seperti premis bank, kedai makan, pejabat pos dan lain-lain.

Mohd Najwan Halimi
Mohd Najwan Halimi

"Saya harap PBT terlibat dapat mempertimbangkan kelulusan permohonan premis yang ingin menjadikan lokasi mesra OKU demi kesejahteraan awam dan terima kasih juga atas keprihatinan saudara Alan berhubung perkara ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia