Anak Khashoggi dapat rumah mewah, wang RM41,000 seorang

Salah (kiri) ketika bertemu dengan Putera Mohammed selepas berita pembunuhan bapanya mendapat liputan meluas media.
Salah (kiri) ketika bertemu dengan Putera Mohammed selepas berita pembunuhan bapanya mendapat liputan meluas media.
A
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Waris keluarga wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi dilaporkan menerima bayaran berjumlah ribuan dolar sebulan selain kediaman mewah diberikan pihak berkuasa Riyadh, menurut laporan The Washington Post, semalam.

Pampasan diberikan kepada keempat-empat anaknya, dua lelaki dan dua perempuan itu adalah sebahagian daripada usaha Saudi untuk mencapai persetujuan jangka panjang dengan keluarga pengkritik lantang Putera Mahkota, Mohammed Salman terbabit.

"Kediaman yang diberikan kepada anak Khashoggi itu terletak di Jeddah dan bernilai AS$4 juta (RM16 juta)," lapor akhbar itu lagi.

Difahamkan, Salah yang merupakan anak sulung beliau merancang untuk terus tinggal di Riyadh manakala adik beradiknya yang lain yang kini berada di Amerika Syarikat (AS) dijangka menjual rumah terbabit.

Selain itu, setiap anak Khashoggi turut menerima AS$10,000 (RM41,000) sebulan dan dijangka menerima pampasan lebih tinggi berjumlah puluhan juta dolar seorang.

Khashoggi yang merupakan kolumnis akhbar berpusat di AS itu dibunuh kejam dan mayatnya dilupuskan ketika beliau berkunjung ke Konsulat Saudi di Istanbul untuk mendapatkan dokumen perkahwinan pada Oktober lalu.

Sehingga kini, mayatnya gagal ditemui dan pendakwa raya di Riyadh telah mendakwa 11 individu yang didakwa terlibat dalam pembunuhan kejam Khashoggi. - AFP

Artikel Berkaitan: