UMNO perlu guna logo sendiri sebelum label Pas penakut

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO perlu berani menggunakan logo mereka sendiri pada pilihan raya umum (PRU) sebelum melabelkan Pas sebagai penakut.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sepanjang berada dalam politik tanah air, parti tersebut tetap kental menggunakan logo sendiri sama ada menang atau kalah.

"Tapi UMNO tidak, sejarah PRU negara menunjukkan parti itu (UMNO) tidak pernah menggunakan logo mereka. Dulu menggunakan lambang Perikatan, kini Barisan Nasional (BN)

"Siapa sebenarnya yang takut dalam soal ini?" soalnya pada Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan di sini pada malam Selasa.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Dewan Usahawan Kelantan (DUKE), Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Kerajaan Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed mengatakan Pas sedang mengalami krisis keyakinan diri dan tidak lagi yakin dengan kekuatan mereka apabila sentiasa menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam berpolitik.

Nur Jazlan berkata, perkara itu dapat dilihat apabila kepemimpinan Pas sebelum ini memberitahu akan menggunakan logo sendiri dalam PRU15 sebelum menukar pendirian mereka.