[VIDEO] Polis minta Lufya tampil bawa anak untuk dirakam keterangan

Laporan Sinar Harian pada 26 Jun lalu. (Gambar kecil: Mohammad Fakhrudin)
Laporan Sinar Harian pada 26 Jun lalu. (Gambar kecil: Mohammad Fakhrudin)
A
A
A

PETALING JAYA - Polis meminta pelakon, Lutfyah Sheikh Omar, 37, atau Lufya memberi kerjasama dan membawa anaknya untuk dirakam keterangan berhubung kes cubaan culik yang didakwa berlaku di sebuah taman permainan di Kota Damansara di sini 26 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan kes sedang berjalan, bagaimanapun pihaknya perlu merakam keterangan daripada anak perempuan pelakon tersebut yang berusia lima tahun.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan untuk mendapatkan fotofit (suspek) dan juga ambil keterangan anak beliau (Lufya).

"Kita telah panggil dia beberapa kali untuk dapatkan kerjasama dan ambil maklumat berkaitan siasatan kita.

"Mungkin dia ada komited hal lain," katanya semasa ditemui di Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Balai Polis Ara Damansara di sini pada Rabu.

Pada 18 Julai, Sinar Harian melaporkan pihak polis meminta kerjasama daripada Lufya supaya tampil ke balai untuk siasatan lanjut.

Polis dilaporkan berkata telah merakam keterangan Lufya melalui panggilan telefon, namun masih terdapat beberapa tindakan lanjut yang memerlukan dirinya untuk tampil ke balai.

Pelakon tersebut diminta hadir ke balai susulan laporan polis dibuatnya mendakwa dicederakan dengan kayu oleh seorang lelaki dalam cubaan menculik anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara di sini.

Sebelum itu, media melaporkan Lufya mendakwa berdepan detik cemas apabila dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan seorang lelaki menculik anaknya, Laana Haura di taman permainan terbabit.