Felcra yakin selesaikan isu pinjaman bantuan sara hidup

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Felcra yakin isu penangguhan pinjaman bantuan sara hidup peserta akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata penangguhan sementara pinjaman sara hidup yang bermula Ogos tahun lepas, dilakukan berikutan kedudukan kewangan semasa Felcra yang lemah ekoran kejatuhan harga komoditi dan cabaran legasi yang diwarisi daripada pengurusan terdahulu.

“Memandangkan Felcra kini berhadapan dengan keadaan kewangan yang sangat serius, maka Felcra sentiasa berusaha keras untuk mendapatkan pinjaman daripada kerajaan dan atau institusi-institusi kewangan bagi membiayai pinjaman sara hidup,” katanya dalam sesi soal jawap lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang bertanyakan mengapa bantuan sara hidup peserta Felcra, yang majoritinya (95 peratus) berusia 65 tahun dan ke atas, dipotong dan tidak dibantu.

Mohd Radzi menjelaskan bahawa penangguhan sementara ini hanyalah bagi pinjaman yang menggunakan dana dalaman Felcra, manakala bayaran sara hidup lain yang menggunakan tabungan peserta seperti Bantuan Tanam Semula Risda, dibayar terus kepada peserta.

Beliau yakin enam arah tuju strategik Felcra (melabur semula, merekayasa semula, mencergaskan semula, membangunkan semula, mengkaji semula dan menstruktur semula yang diusahakan ahli lembaga pengarah dan pengurusan baharu, dapat mengembalikan Felcra kepada tujuan asal penubuhannya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PH-Jerlun) mengenai sama ada projek pembangunan Jalan Semarak menjadi penyebab kepada masalah kewangan Felcra, Mohd Radzi berkata pelaburan dalam projek berkenaan telah menyebabkan syarikat itu menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

“Itulah antara menjadi salah satu punca kekangan kewangan Felcra kerana ia (dana) perlu dialihkan kepada projek tersebut,” katanya Mohd Radzi. - Bernama

Artikel Berkaitan: