Pas Kedah hilang seorang pejuang

Kehilangan Mohd Khairudin dirasai oleh penduduk Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang.
Kehilangan Mohd Khairudin dirasai oleh penduduk Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang.
A
A
A

KUALA NERANG - Pemergian Allahyarham Mohd Khairudin Ahmad, 34 ditemui lemas semalam di tali air Batu 8, Jalan Simpang Empat, Kota Sarang Semut, Alor Setar merupakan kehilangan yang besar kepada Pemuda Pas Kawasan Padang Terap dan juga Pemuda Pas Kedah.

Timbalan Ketua Pemuda Pas negeri Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, kali terakhir beliau bertemu Mohd Khairudin pada 31 Mac lalu di Program Sukan Pasti Kawasan Padang Terap kerana Allahyarham adalah Pengerusi Pasti Al-A'la Kampung Kubang Palas, di sini.

Menurutnya, tiada reaksi pelik ditunjukkan oleh Allahyarham malah beliau antara orang yang terawal datang untuk menguruskan program agar berjalan dengan lancar.

"Allahyarham Ustaz Khairudin mempunyai sikap yang sentiasa tawaduk, ringan tulang, sentiasa senyum, sentiasa berada di mana-mana program Pas sambil menjual air nira, sangat meruntun hati apabila mengenangkan saat-saat ketika bersama Allahyarham.

"Semoga sikap istiqamah Allahyarham dalam perjuangan Islam, mewariskan pula semangat perjuangan kepada generasi pemuda yang masih hidup," katanya.

Nurul Amin yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Padang Terap berkata, Allahyarham menjadikan nira dan menangkap ikan salah satu sumber pendapatannya dalam menyara keluarganya iaitu seorang isteri dan dua anak.

Pemuda Pas Kedah kehilangan seorang pejuang berdedikasi seperti Mohd Khairudin.
Pemuda Pas Kedah kehilangan seorang pejuang berdedikasi seperti Mohd Khairudin.

Malah, pihaknya turut memesan beberapa ekor ikan dari Mohd Khairudin untuk dijadikan sebagai hidangan istimewa kepada tetamu jemputan pada Program Hari Sukan Sriti Peringkat negeri Kedah 2019 di Padang Terap di Padang Awam Naka, esok.

Artikel Berkaitan:

"Semalam memang Allahyarham turun untuk mencari ikan lagi kerana sebelum itu sudah ada ikan yang ditangkap tetapi masih belum cukup untuk tetamu jemputan pada program Sriti namun kami tidak menyangka beliau ditemui lemas dalam kejadian itu.

"Seluruh ahli pemuda Pas Kedah terkejut dengan kejadian ini kerana beliau begitu komited kerana turut mengalas sebagai Ketua Lajnah Tarbiah Pemuda Pas Padang Terap dan juga sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Penerangan di peringkat Pemuda Pas negeri Kedah," katanya.

Tambah Nurul Amin, beliau berharap akan ada mana-mana pihak tampil membantu keluarga Allahyarham terutamanya balunya kerana baharu sahaja berhenti kerja sebagai seorang guru.

Jenazah Allahyarham Mohd Khairudin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Palas pada jam 12.30 malam tadi dan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.