Kereta terbang: Mitos atau realiti?

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
A
A
A

SAYA ditanya oleh rakan-rakan, apakah benar model skala kecil prototaip 'kereta terbang' yang dipamerkan di LIMA 2019 adalah sesuatu yang benar atau hanya khayalan semata-mata?

Jawapannya saya, untuk berlaku adil, saya hanya menjawab dengan membuat analisa kejuruteraan semata-mata terhadap contoh model prototaip (berdasarkan model skala yang ditularkan). Tiada maklumat lain.

Sekiranya saya menjawab di hadapan pelajar kejuruteraan saya, maka prinsip seperti Bernoulli Principles, Newton’s Law, Aerodynamics, Aerothermodynamics, Fluid Mechanics, dan segala prinsip fizik akan terpaksa dijelaskan.

Saya akan meminta pelajar saya untuk mengkaji aspek 'power system', 'rotor size and design', 'vehicle design and structural integrity', 'materials', 'noise and vibration analysis', 'manoeuvrability', 'control system', 'pay-load', 'power to weight ratio', 'certification and worthiness', 'dynamic stability', dan sebagainya. Saya akan meminta pelajar saya membuktikan menerusi 'computation fluid dynamics (CFD)'. Tentunya dalam tulisan ini saya tidak akan buat begitu.

Bagi tujuan awam, saya memilih untuk menggabungkan jawapan ringkas saya ini berasaskan latar belakang saya sebagai saintis, jurutera, penyelidik, dan juga sebagai ahli politik; maka saya akan cuba memberikan pandangan saya dalam bahasa yang paling mudah dan senang difahami.

Pertama, premis bahawa ianya dilabelkan sebagai 'kereta terbang' adalah provokatif dan sensasi. Sains dan teknologi seharusnya bukan sensasi, bukan gimik, tetapi perlu berasaskan fakta tepat.

Tidak dinafikan juga mungkin sedikit kesilapan melabelnya, akan membuka ruang penafsiran yang salah. Maka amat penting untuk pihak yang memperkenalkan cadangan prototaip 'kereta terbang' itu dan kementerian untuk cepat membetulkan nama panggilannya supaya tidak menjadi momokan.

Itulah cabaran dunia baharu. Sebenarnya tidak mengurangkan apa-apapun sekiranya dengan pantas pihak Menteri atau Timbalan Menteri membetulkan nama 'kereta terbang' itu pada hari pertama, dengan menggelarnya dengan nama yang lebih sesuai seperti 'vertical take-off transporter', 'automobile drone', 'drone taxi', 'auto hover' atau lainnya.

Artikel Berkaitan:

Nama yang tepat akan bergantung pada prinsip bagaimana kenderaan berkenaan akan mula berada di udara, sama ada menerusi 'vertical take-off' seperti dron yang ada di pasaran waktu ini atau 'take-off' biasa seperti pesawat kecil yang mempunyai 'retractable wings'.

Kedua, mungkin ada yang mula bertanya. Adakah boleh wujud kenderaan sedemikian? Ya, pada prinsipnya ianya tidak berlawanan dengan kejuruteraan, dan memang sudah ada kenderaan yang mampu berada di ketinggian tertentu seperti dron yang mampu menjadikan manusia sebagai bebannya.

Maka soalan berikutnya, adakah yang dipamerkan di LIMA 2019 itu adalah suatu yang mungkin boleh terbang ?

Sekiranya reka bantuk dan pembinaannya adalah menepati reka bantuk kejuruteraan dan segala prinsipnya, maka ianya boleh berada di udara. Saya percaya, tentunya syarikat berkenaan mempunyai pakar teknikal yang berkebolehan, tetapi dengan melihat rekabentuk berkenaan perjalanan masih jauh.

Pada hemat saya, sekiranya itulah cadangan reka bentuknya, maka ianya memerlukan cubaan yang lebih serius untuk memastikan ianya mampu berada di udara.

Sekiranya ianya adalah projek pelajar saya, saya akan memberi komen awal terhadap reka bentuk pelik penutup berjaring di atas kipas, yang pada hemat saya akan mengurangkan daya dan kuasa tujahan (thrust force and power) yang akan membolehkan kenderaan itu berada di satu ketinggian tertentu di udara.

Faktor kritikal ialah mempunyai daya dan kuasa tujahan dan angkat yang mampu mengatasi berat kenderaan bersama bebanannya.

Penutup berjaring berkenaan akan hanya membolehkan angin yang keluar di bawah dalam keadaan seragam (uniform flows) tetapi tujahan mengurang (reduced thrust). Ini akan menyukarkan lagi bagi mencapai daya tujahan bagi mengangkat kenderaan berkenaan.

Ketiga, di zaman media baharu ini, kerapkali inisiatif kerajaan kadangkala juga berdepan dengan kritikan dari rakyat awam, dan pimpinan masyarakat lainnya yang tentunya mempunyai berbagai pandangan dan latar belakang.

Menteri atau Timbalan Menteri yang mengeluarkan kenyataan menyokong kenderaan berkenaan, haruslah mengambil maklum bahawa kita sebagai pimpinan masyarakat hendaklah cuba (saya katakan cuba kerana – saya juga - tidak mudah untuk mengawal perasaan kita sendiri) untuk tidak bertindak balas dengan sindiran orang ramai, iaitu tidak membalas kutukan dengan kutukan balas. Ambil maklum dan jelaskan dengan hati yang terbuka.

Apa salahnya kita menggunakan ayat seperti: “saya memahami kritikan berkenaan, kami akan ambil maklum dan atasi apa jua masalah reka bentuknya. Kami akan berikan penjelasan di satu masa nanti.

"Penjelasan teknikalnya adalah seperti berikut...

"Itu adalah contoh sahaja, reka bentuk akhir tentunya berbeza, sesuai dengan objektif kenderaan berkenaan dan sebagainya."

Jack Welch, mantan CEO of General Electric, menyebut: “Orang ramai mesti yakin dengan anda, anda pula harus membina keyakinan orang ramai”.

Menarik bukan, objektif nampak mudah tetapi mengusahakannya adalah tidak semudah itu!.

Semoga Berjaya !. Benediximus !