Dua lelaki edar dadah diberkas

Pelbagai jenis dadah dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium Batu 9, Cheras, di sini pada Sabtu.
Pelbagai jenis dadah dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium Batu 9, Cheras, di sini pada Sabtu.
A
A
A

KAJANG - Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan secara berasingan di sebuah kondominium Batu 9, Cheras, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM31,405.

"Dalam serbuan pertama pada jam 12.40 tengah malam, kita telah menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dan merampas empat peket plastik berisi serbuk ekstasi seberat 54.8 gram dan empat botol minuman plastik mengandungi cecair disyaki ekstasi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Zaid berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun telah ditahan pada jam 1.30 pagi di sebuah kedai di kondominium yang sama

"Kita merampas 219 peket plastik berisi serbuk ekstasi seberat 4,529.8 gram, tiga botol minuman plastik berisi cecair disyaki ekstasi, 61 biji pil ekstasi, ketamin (8.2 gram) dan 50 pil erimin 5," katanya.

Menurutnya, dadah yang dirampas itu dipercayai untuk dipasarkan di pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dapati kedua-dua suspek positif methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, semakan rekod hanya seorang suspek sahaja mempunyai dua rekod dadah dan lima rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya