RM120,000 untuk PRU tapi masuk dalam akaun Syed Saddiq: Saksi

Saddiq Syed (tengah). Foto Bernama.
Saddiq Syed (tengah). Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, RM120,000 dimasukkan ke akaun peribadi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.

Nurul Hidayah Kamarudin berkata demikian ketika perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

Bagaimanapun, saksi berusia 33 tahun itu berkata, wang berkenaan tidak digunakan untuk perbelanjaan PRU14 pada 9 Mei 2018 sebaliknya wang itu telah dipindahkan ke akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) milik Ahli Parlimen Muar.

Nurul Hidayah yang juga saksi pendakwaan ke-28 berkata, wang yang diperoleh daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dialihkan ke akaun ASNB Syed Saddiq menerusi dua transaksi berjumlah RM100,000, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali, Nurul Hidayah berkata, kebiasaannya pemegang saham memasukkan wang ke akaun ASNB untuk pelaburan serta mendapatkan pulangan dividen.

“Rafiq Hakim Razali (saksi pendakwaan ke-13) telah memindahkan wang RM120,000 daripada akaun ABBE ke akaun peribadi Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq.

“YB pula telah menggunakan harta secara tidak jujur dengan mengarahkan Rafiq supaya memindahkan wang itu ke akaun peribadinya yang lain,” katanya.

Saksi berkata, Rafiq yang ketika itu selaku Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melakukan empat transaksi dengan setiap satu sebanyak RM30,000 pada 8, 11,12 dan 21 Mei 2018.

Semasa pemeriksaan balas, saksi itu mendiamkan diri, apabila Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq mencadangkan bahawa, beliau gagal menjalankan tugas selaku pegawai penyiasat, kerana siasatan berhubung kes ini didapati tidak lengkap.

Gobind: Jika beli poster, bendera, atau ketika ceramah, kita akan tempah khemah dan belanja kos-kos lain. Ada Puan tanya pada pencetak poster dan bendera, bagaimana pula dengan pihak yang sediakan khemah?

Nurul Hidayah: Tidak.

Gobind: Pernahkah Puan dengar tentang Pergerakan dan Kebajikan Politik Kawasan Muar?

Nurul Hidayah: Pernah baca.

Gobind: Puan ada siasat?

Nurul Hidayah: Bagaimana nak siasat jika tidak dinyatakan bukti resit atau perbelanjaan.

Gobind: Itu masalahnya bila Puan tak soal YB sendiri.

Nurul Hidayah: Saya tidak ambil keterangan YB sebab ikut keterangan Amsyar, YB tidak pernah serahkan apa-apa tanggung jawab kepadanya, supaya menguruskan kewangan peribadi atai politik.

(Amsyar merupakan seorang individu yang dikatakan menguruskan kewangan peribadi dan politik Syed Saddiq).

Saksi ini berkata tidak tahu selepas ditanya oleh Gobind, bahawa Syed Saddiq telah mengemukakan penyata perbelanjaan sebanyak RM171,675 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama-sama resit asal.

Peguam itu berkata, ia merupakan antara perkara yang dilakukan oleh mana-mana calon dalam PRU untuk memperincikan setiap perbelanjaan sepanjang kempen berlangsung.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung 3 Ogos depan.