SPRM Perak tumpu integriti penjawat awam

Mohd Fauzi (kanan) menerima tongkat kuasa daripada Zainul sebagai simbolik serah terima tugas sambil disaksikan Ja'afar.
Mohd Fauzi (kanan) menerima tongkat kuasa daripada Zainul sebagai simbolik serah terima tugas sambil disaksikan Ja'afar.
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak akan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan integriti penjawat awam seperti bagi merealisasikan hasrat kerajaan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, usaha itu juga akan diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan yang menggunakan dana awam.

Beliau berkata, dalam masa sama, SPRM Perak meneruskan tugas-tugas hakiki iaitu melaksana dan menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta SPRM dan akta-akta yang diwartakan kepada SPRM.

"Saya akan meneruskan usaha-usaha pencegahan rasuah yang telah dirancang sebelum ini di bawah Pengarah SPRM Perak sebelum ini.

"Selaras dengan aspirasi kerajaan sekarang, kita akan memberi penumpuan kepada penjawat awam sama ada di jabatan persekutuan atau negeri," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Perak di Auditorium SPRM Perak, di sini.

Hadir sama pada majlis itu, bekas Pengarah SPRM Perak yang ini menjawat Ketua Unit Integriti Kementerian Kewangan, Datuk Zainul Darus dengan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Professional), Datuk Ja’afar Mahad.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata, pihaknya akan melaksanakan 35 inisiatif di bawah Pelan Anti Rasuah Kebangsaan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, SPRM Perak juga akan menekankan beberapa inisiatif penting seperti Pelan Anti Rasuah Organisasi yang akan dilaksanakan bersama Unit Pencegahan di Perak serta cawangan-cawangan yang ada di negeri ini.

Sementara itu, mengenai kes berprofil tinggi di Perak, Mohd Fauzi menjelaskan, beliau akan menyemak semula kes-kes tersebut dan memaklumkan kepada media jika terdapat perkembangan terbaharu.