Kes Isa Samad dibicarakan di Mahkamah Tinggi

Isa Samad
Isa Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi setelah tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

Tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi akan ditetapkan kemudian dan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada 4 April ini untuk memaklumkan perkembangan terkini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Mohd Isa, 70, yang hadir ke mahkamah dengan bersut biru, diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Mohd Isa didakwa melakukan kesemua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: