Lihat agenda Bumiputera dalam kerangka baharu

Muhyiddin membuat pemeriksaan perbarisan sempena Konvensyen Bersatu Johor.
Muhyiddin membuat pemeriksaan perbarisan sempena Konvensyen Bersatu Johor.
A
A
A

KULAI - Bersatu mesti melihat semula agenda Bumiputera dalam kerangka yang baharu, selari dengan konteks Malaysia Baharu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agenda tersebut tidak boleh diketepikan.

“Parti Bersatu yang tertubuh atas semangat juang untuk membangunkan orang Melayu, tidak akan berdiam diri.

“Kita akan terus bersuara sehingga kita melihat orang Melayu bangkit dan bangun untuk menguasai sebahagian besar ekonomi dalam negara,” katanya ketika berucap Konvensyen Bersatu Johor di Senai di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Setiausaha DAP Johor, Tan Hong Pin.

Muhyiddin berkata, agenda Bumiputera mesti diberikan nafas baharu dan memastikan matlamatnya yang tidak berjaya dicapai sepenuhnya oleh kerajaan BN, dijayakan oleh PH.

Katanya, menerusi kerangka baharu itu, penting adalah semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum boleh berkongsi kemakmuran negara secara bersama.

“Konsep yang perlu diketengahkan ialah kemakmuran bersama di mana kejayaan ekonomi tidak lagi diukur berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi negara semata-mata, tetapi dari segi peningkatan kuasa beli rakyat dan penghapusan jurang pendapatan antara kaum dan kelas.

Artikel Berkaitan:

“​Ini bermaksud, kemakmuran negara ini hendaklah dikongsi secara adil dan saksama oleh semua rakyat.

"Tidak ada mana-mana kaum atau kumpulan yang terkebelakang dalam pencapaian ekonomi termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, ukuran pencapaian ekonomi tidak lagi berasaskan kepada peratusan pemilikan ekuiti dan penghapusan kadar kemiskinan semata-mata, tetapi lebih penting peningkatan pendapatan isi rumah, kemajuan dalam bidang kerjaya, keusahawanan, kadar gaji, nilai simpanan dan pemilikan aset.

“Kita memerlukan agenda Bumiputera yang memberi kesan langsung kepada individu dan isi rumah Bumiputera.

"Mereka hendaklah dipastikan mendapat peluang yang saksama untuk bekerja dan bersaing dalam sektor-sektor pekerjaan berpendapatan tinggi, menikmati kemajuan dalam laluan kerjaya mereka serta menceburi bidang-bidang keusahawanan dan perniagaan yang berdaya maju untuk meningkatkan pendapatan," katanya.

Ini bermakna, jelasnya lagi, penyediaan latihan dan biasiswa kepada pelajar-pelajar terbaik dalam kalangan Bumiputera untuk mengikuti pengajian dalam bidang-bidang berpendapatan tinggi hendaklah diteruskan.

"Malah ditambah lagi. Dasar meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor perdagangan dan industri juga hendaklah terus diperkasakan,” katanya.