Perbicaraan Na jib berhubung dana SRC bermula Rabu

A
A

Perbicaraan Najib berhubung dana SRC bermula Rabu

Tanpa melengahkan masa, pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas akan mula membentangkan kes terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International Sdn Bhd pada Rabu dan sudah bersedia dengan tiga orang saksi pertama yang akan memberi keterangan.

Perbicaraan ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menarik balik penangguhan prosiding yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan kepada Najib yang pada 8 Februari memfailkan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan "interlocutory” untuk didengar.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, yang mengetuai panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan, berkata Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian dan dengan itu, memerintahkan Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan.

Najib adalah Perdana Menteri Malaysia yang keenam, merupakan perdana menteri pertama yang diheret ke mahkamah.

Pada 4 Julai, 2018, Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Salahuddin tak campur pegawai disiasat SPRM

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan Setiausaha Politik beliau.

Menurut satu kenyataan, beliau berkata, proses undang-undang akan dilaksanakan bagi membolehkan kes itu disiasat.

Salahuddin berkata, pegawainya itu juga seperti rakyat Malaysia yang lain yang tertakluk kepada undang-undang.

Semalam, SPRM, menahan lelaki berusia 47 tahun bagi membantu siasatan berhubung penerimaan jam tangan mewah bernilai kira-kira RM28,000.

Mahathir lancar Bersatu Sabah 6 April

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menyempurnakan majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah pada 6 April ini di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa di Penampang.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Pelancaran Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor berkata selain beberapa acara seperti penyerahan rasmi borang permohonan keahlian tambahan penyokong dan pendukung Bersatu di Sabah, pengisian utama majlis adalah amanat yang akan disampaikan oleh Dr Mahathir, selaku Pengerusi Bersatu.

Amanat itu kelak menjadi platform langsung kepada masyarakat di Sabah untuk mendengar aspirasi dan hala tuju perjuangan Bersatu khususnya dalam konteks kerangka perjuangan masyarakat pribumi dan seluruh rakyat di negeri ini, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Proton X70 SUV paling popular suku pertama 2019

Proton X70 berjaya mencatatkan nombor pendaftaran yang memberangsangkan, dengan 2,979 unit telah didaftarkan pada Mac 2019, menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris untuk bulan tersebut dan SUV paling popular secara keseluruhan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menurut Proton Holdings Bhd.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, ia telah menerima lebih 25,000 tempahan untuk X70 sekali gus, menjadikannya model Proton paling popular pada 2019.

Katanya, jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun pada Mac, dan syarikat telah mengatasi pasaran dengan peningkatan pendaftaran sebanyak 46.1 peratus, bersamaan dengan kadar pertumbuhan hampir empat kali lebih tinggi daripada keseluruhan industri.

Palestin panggil balik duta selepas Brazil buka pejabat diplomatik di Baitulmaqdis

Pihak Berkuasa Palestin memanggil pulang dutanya dari Brazil sebagai bantahan terhadap langkah negara itu membuka sebuah pejabat diplomatik di Baitulmaqdis, lapor agensi berita China, Xinhua memetik kenyataan Kementerian Luar.

Kenyataan itu menyebut keputusan Brazil itu dikecam dan merupakan “pelanggaran legitimasi antarabangsa dan keputusannya yang amat jelas”, sambil menambah “langkah tersebut adalah pencabulan langsung ke atas penduduk Palestin dan hak mereka”.

Terdahulu, Brazil mengumumkan negara itu membuka sebuah pejabat diplomatik di Baitulmaqdis dan ia akan menjadi sebahagian daripada kedutaannya di Tel Aviv, menurut Radio Israel.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia