Presiden ICRC mahu tindakan kemanusiaan berprinsip dilindungi

Peter Maurer
Peter Maurer
A
A
A

NEW YORK - Ketua Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), semalam meminta masyarakat antarabangsa melindungi tindakan kemanusiaan yang berprinsip dalam konteks bahawa bentuk konflik telah mengalami perubahan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lapor agensi berita China Xinhua.

"Sepanjang operasi ICRC, kita melihat bahawa tindakan kemanusiaan yang bersifat neutral, bebas dan tidak memihak mempunyai peluang terbaik untuk mendekati mereka yang paling memerlukan bantuan. Ia juga adalah satu formula yang terbukti berkesan bagi mengekang tindakan kemanusiaan digunakan untuk kepentingan agenda politik yang lebih besar dan kontroversi. Namun di kebanyakan tempat di seluruh dunia, ruang untuk tindakan kemanusiaan yang tidak memihak kini semakin terancam," kata Presiden ICRC Peter Maurer.

"Adalah menjadi tugas masyarakat antarabangsa untuk sedaya-upaya mempertahan dan melindungi tindakan kemanusiaan yang berprinsip," katanya kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Maurer juga meminta agar sebarang percubaan untuk menggerak, memanipulasi atau mempolitikkan tindakan kemanusiaan yang berprinsip ditentang.

Beliau berkata akses kemanusiaan tidak harus ditolak atau ditahan secara tidak sah, terutama apabila keperluan asas rakyat tidak dipenuhi.

"Lesen kami untuk beroperasi tidka seharusnya dipertikai: ia sudahpun dijamin. Misi untuk melindungi dan membantu orang awam semasa konflik bersenjata telah dipersetujui secara universal 70 tahun lalu dalam Konvensyen Geneva. Kami menyeru semua negara agar tampil dan mengesahkan semula misi ini, bukan sekadar dengan kata-kata sebaliknya melalui tindakan segera dan konkrit," kata Maurer.

Beliau berkata undang-undang kemanusiaan antarabangsa tidak bergantung kepada sifat timbal balik.

Ia terpakai meskipun pihak lawan gagal mematuhinya, kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Organisasi kemanusiaan semakin kerap berada di bawah tekanan kerana kumpulan bersenjata di pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan sering memperguna populasi awam dan penggiat kemanusiaan sebagai tebusan bagi mencapai matlamat mereka, kata Maurer.

Justeru itu, beliau menggesa semua negara agar menghormati kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.- Bernama