Baharom dilantik Ketua Pengarang Sinar Harian

Baharom Mahusin
Baharom Mahusin
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Karangkraf Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Baharom Mahusin sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, merangkap Ketua Pegawai Pengisian berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pelantikan itu seiring dengan matlamat syarikat untuk melaksanakan transformasi baharu menepati cita rasa pembaca Sinar Harian.

“Baharom dipertanggungjawab meningkatkan kualiti isi kandungan dan pemilihan bahan berita yang terkini, telus dan tulus.

“Pada masa sama, beliau akan mengenal pasti hala tuju dan mengukuhkan jenama Sinar Harian agar dapat bersaing dengan akhbar arus perdana yang lain,” katanya pada program perjumpaan bersama warga Sinar Harian di sini.

Pelantikan Baharom, 52, adalah bagi menggantikan Norden Mohamed yang menggalas jawatan tersebut bermula 2009 hingga 2017.

Baharom ialah bekas Pengarang Kosmo!, akhbar harian kompak terbitan Kumpulan Utusan. Beliau menjadi pengarang akhbar itu selama 10 tahun antara 2008 dan 2018.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu terlibat dalam bidang kewartawanan selama 28 tahun sebelum bersara menerusi Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) Utusan pada Disember 2018.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang penulisan dari Universiti Malaya ini pernah bertugas sebagai pemberita, penulis rencana dan koresponden akhbar Utusan Malaysia di London antara 1994 dan 1997.

Beliau juga pernah bertugas sebagai kolumnis, pengarang berita, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia (2000-2002), Pengarang Majalah Mingguan MASSA, Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia dan pernah menjawat jawatan Penolong Pengarang Utusan Malaysia.

Artikel Berkaitan: