Bicara Rafidah yang masih berbisa

Tan Sri Rafidah Aziz - Foto Sinar Harian
Tan Sri Rafidah Aziz - Foto Sinar Harian
A
A
A

LANTANG, tidak berlapik dan 'pedih menghiris'. Anda boleh memilih sama ada untuk menyukai atau membenci setiap butir bicara beliau.

Tetapi pada akhirnya, anda tidak boleh memaksa beliau mengubah kata-katanya itu, hanya untuk menyedapkan halwa telinga anda.

Itulah gaya dan prinsip tokoh wanita negara, Tan Sri Rafidah Aziz, anak jati Perak yang lebih 53 tahun bergelumang dalam jatuh bangun dunia politik.

Walaupun telah menjarakkan diri daripada dunia politik selepas digugurkan dalam Kabinet pada tahun 2008, serta tidak lagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum 2013, namun Rafidah hakikatnya tidak pernah melupakan terus dunia politik yang sebati dengan dirinya.

Bermula dengan hanya status dan pandangan di media sosial, Rafidah mencetuskan perubahan landskap politik negara terutamanya pendedahan mengenai kes 1MDB menyebabkan veteran UMNO itu akhirnya muncul kembali di pentas politik.

Namun apa yang mengejutkan Rafidah melawan parti yang pernah dijulangnya dulu. Beliau bersama beberapa pemimpin veteran UMNO seperti Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rais Yatim berucap di pentas politik PH untuk menumbangkan UMNO dan BN.

Padahnya Rafidah dan rakan-rakannya disingkir daripada UMNO tahun lalu dan, sejak itu, Rafidah tidak lagi menoleh kebelakang.

Pandangan beliau terhadap UMNO tetap kritikal dan dalam Bicara Minda bersama Sinar Harian di Shah Alam semalam, beliau tetap tegas dan lantang.

Artikel Berkaitan:

Malah, dalam konsep 'Malaysia Baharu' dibawakan PH, Rafidah mengelak berbicara mengenai Melayu apatah lagi ketuanan bangsa saat diajukan soalan oleh moderator, Tan Sri Johan Jaafar.

Ternyata intonasi beliau terhadap Melayu sudah berbeza daripada apa yang pernah dilaungkan bersama UMNO dahulu.

Hari ini Rafidah lebih selesa bercakap mengenai bangsa Malaysia.

Dalam nada sinis, bagi Rafidah tiada guna bercakap mengenai soal ketuanan Melayu jika orang Melayu masih menyapu sampah di longkang.

Bagi Rafidah, apa yang lebih penting kejayaan yang dicapailah membolehkan seseorang itu dihormati.

"Hak ialah apa perolehan, apa imbuhan. Apakah hak kalau kita masih melompong," ujar Rafidah dalam Bicara Minda semalam.

Namun, kelantangan Rafidah bukan sahaja saat berbicara soal politik, selaku ibu kepada tiga orang cahaya mata, beliau tidak terkecuali membicarakan isu tanggungjawab ibu bapa dan keluarga.

Beliau membandingkan betapa ibu bapa hari ini yang memanjakan anak-anak sedangkan pada zaman beliau kecil dulu untuk mendapat setin coklat pun perlu cemerlang dalam peperiksaan.

Yang pasti, dengan gelaran Wanita Besi Malaysia, pada usia 75 tahun, Rafidah tidak gentar untuk memperkatakan dan mempertahankan semua kata-katanya mengenai pelbagai isu, waima saat diajukan soalan mengapa beliau masih tidak bertudung.

Rafidah memberikan jawapan rasional kepada soalan itu.