11 koperal, lans koperal di Perak positif dadah

Gambar hiasan 123RF. - Foto kecil: Mior Faridalathrash
Gambar hiasan 123RF. - Foto kecil: Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Seramai 11 anggota polis Perak berpangkat koperal dan lans koperal dikesan positif dadah menerusi pemeriksaan secara rambang yang dijalankan pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua mereka berusia antara 35 hingga 51 tahun positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan tetra hydrocannibol (THC).

Menurutnya, keputusan itu diperolehi hasil saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap 56 anggota dari dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, sembilan daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala dua lagi jenis THC," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati, daripada 11 anggota yang disahkan positif itu, seorang daripada mereka pernah ditangkap dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun katanya, anggota itu dibebaskan oleh mahkamah daripada pertuduhan berkenaan.

"Semua yang ditahan ini akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 selain berdepan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 (Kelakuan dan Tatatertib)," katanya.

Dalam laporan Sinar Harian pada Khamis, Mior Faridalathrash memaklumkan, masih terdapat anggota polis yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah meskipun pernah ditangkap atas kesalahan sama sebelum ini.

Perkara itu dikesan berlaku termasuk membabitkan kes yang telah dituduh di mahkamah.