X

Kindly register in order to view this article
!

Jelajah 12 negeri, berguru dengan 60 tukang berpengalaman

Muhammad Khairi kini memiliki bengkel sendiri.
A
A

LIPIS - Perasaan takut kerana parang milik bapanya hilang membawa seorang pemuda mengelilingi Semenanjung Malaysia untuk menguasai seni pembuatan senjata.

Muhammad Khairi Adham Abdul Muin Long, 23, mengembara ke 12 negeri, dari Pahang hingga ke Perlis dengan menunggang motosikal Honda Wave.

Jelajah dari 1 September hingga 23 September tahun lalu itu memberikan pengalaman cukup berharga buat Muhammad Khairi.

Dia berjaya menguasai kemahiran menghasilkan parang selepas berguru dengan 60 tukang berpengalaman dan kini memiliki bengkel di Kampung Selendang, Padang Tengku sejak awal tahun ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia nekad mengembara demi mencapai hasratnya.

"Semasa itu, sarung ada tapi parangnya hilang. Puas saya bertanya jika ada sesiapa yang boleh buat tetapi sukar.

"Jadi timbul kesedaran untuk belajar dan saya sendiri minat hasilkan senjata.

"Terus saya beranikan diri mengembara seorang diri cari tukang-tukang ini," katanya.

Muhammad Khairi mengembara ke 12 negeri menaiki motosikal Honda Wave.
Muhammad Khairi mengembara ke 12 negeri menaiki motosikal Honda Wave.

Keluarganya hanya mengetahui pengembaraannya ketika dia berada di Kelantan namun mereka tetap memberikan sokongan.

"Saya bertuah kerana sepanjang pengembaraan, dapat mempelajari kemahiran dan menimba pengalaman daripada tukang-tukang yang saya jumpa. Mereka berikan kerjasama dan berkongsi tip serta ilmu," katanya.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kepujian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Selangor (Unisel) itu bertuah kerana mendapat sokongan keluarga hingga boleh membuka bengkel berhampiran rumahnya.

"Kini saya lebih fokus untuk menghasilkan pisau jenis Bushcraft yang dapat respon positif. Saya namakannya Expledge yang juga nama kumpulan saya yang banyak terlibat aktiviti pendakian.

"Buat masa ini saya berusaha membahagikan masa dengan pengajian di universiti dan menetapkan untuk menghasilkan 30 bilah setiap bulan.

"Cuma bila waktu cuti,saya boleh buat lima bilah atau lebih dalam tempoh dua atau tiga hari," katanya.

Antara pisau dan parang dihasilkan oleh Muhammad Khairi.
Antara pisau dan parang dihasilkan oleh Muhammad Khairi.

Muhammad Khairi berkata, perlu ada sifat cerewet dan ketelitian kerana melibatkan pelbagai proses sebelum sesuatu produk terhasil.

Katanya, dia lebih suka menyiapkan produknya dan menjualnya di media sosial atau membuka gerai jualan.

"Setakat ini harga sebilah dijual antara RM70 hingga RM300 bergantung kepada saiz," jelasnya yang turut menerima tempahan menghasilkan parang.

Dalam pada itu, dia merancang menyelesaikan pengajiannya sebaik mungkin sebelum mengorak langkah lebih jauh.

"Saya akan jalani latihan praktikal di sebuah sekolah di Batang Kali tidak lama lagi, jadi fokus saya adalah tamatkan pengajian dengan jayanya.

"Selepas itu saya akan memberikan tumpuan pada bengkel ini dan mahu memastikan jenama Expledge dikenali di peringkat antarabangsa suatu hari nanti," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus