Perbicaraan Najib berhubung dana SRC bermula Rabu

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tanpa melengahkan masa, pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas akan mula membentangkan kes terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International Sdn Bhd pada Rabu dan sudah bersedia dengan tiga orang saksi pertama yang akan memberi keterangan.

Perbicaraan ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menarik balik penangguhan prosiding yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan kepada Najib yang pada 8 Februari memfailkan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan "interlocutory” untuk didengar.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, yang mengetuai panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan, berkata Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian dan dengan itu, memerintahkan Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan.

Perbicaraan kes Najib membabitkan dana SRC itu mulanya dijadualkan berlangsung dari 12 Februari hingga 29 Mac tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac membenarkan penangguhkan prosiding sementara menunggu untuk mendengar rayuan-rayuan berkaitan.

Menurut sumber-sumber dari Jabatan Peguam Negara, pihak pendakwaan akan membentangkan kes dengan Thomas membacakan kenyataan pembukaan. "Selepas itu saksi pertama akan dipanggil untuk memberi keterangan. Kami bersiap sedia dengan tiga orang saksi tetapi ia bergantung bagaimana perbicaraan berlangsung pada hari itu.

"Kami juga telah menyediakan kenyataan saksi-saksi dan selepas saksi membaca kenyataan, pihak pembelaan akan memulakan pemeriksaan balas ke atas mereka, " kata sumber-sumber ketika ditanya mengenai prosiding semasa perbicaraan.

Sumber-sumber memberitahu bahawa ketiga-tiga saksi itu adalah pegawai kerajaan dan pengusaha bank yang telah disapina oleh pihak pendakwaan pada Jumaat lepas.

"Pihak pendakwaan telah menampilkan lebih 60 saksi untuk memberi keterangan dalam kandang saksi pada perbicaraan ini," kata sumber itu.

Najib, 66, Perdana Menteri Malaysia yang keenam, adalah perdana menteri pertama yang diheret ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Julai, 2018, Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa, sebagai seorang penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC International befrjumlah RM4 billon, telah melakukan pecah amanah jenayah sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd. Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu, mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang yang sama RM42 juta yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam dua akaunnya empat tahun lalu, milik SRC International Sdn Bhd.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Najib didakwa telah menerima, masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram, yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad menggunakan nombor akaun 2112022011880 dan 2112022011906.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 26 Disember, 2014, dan 10 Februari, 2015. Pertuduhan-pertuduhan itu difailkan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan penalti mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Perbicaraan akan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Selain Thomas, pasukan pendakwaan juga terdiri daripada Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V. Sithambaran yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya dan timbalan pendakwa raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lutfi Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan dan dibantu oleh Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah. -Bernama