KPKT cadang bina kolam renang di balai bomba

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MARANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina kolam renang di balai bomba untuk melatih pelajar sekolah, selain meningkatkan kemahiran anggota jabatan itu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, cadangan itu antara usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menangani kejadian lemas dalam kalangan pelajar sekolah selain aktiviti promosi dan kempen kesedaran jabatan tersebut.

Menurutnya sebagai permulaan sebuah kolam renang akan dibina di setiap negeri, sama ada di balai atau pejabat bomba yang mempunyai keluasan tanah bersesuaian serta beberapa ciri lain.

"Dengan adanya kemudahan itu, anggota bomba boleh meningkatkan kemahiran mereka, manakala pelajar sekolah boleh datang bukan sahaja untuk belajar berenang dengan pegawai kita yang terlatih, malah (belajar) teknik menyelamat yang betul sekiranya berlaku kes lemas.

"Ia adalah satu perkara baru dan saya sudah minta JBPM mengenal pasti lokasi yang sesuai di seluruh negara untuk dikemukakan kepada kementerian bagi mendapatkan kelulusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Kebombaan AFRS-MAHB Siri 2/2018 dan Kursus Sijil Kebombaan Siri 3/2018 yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad berkata, kementerian sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi penjualan semula rumah mampu milik kepada kerajaan.

Ia susulan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Dewan Rakyat beberapa hari lalu, supaya diwujudkan peraturan penjualan semula rumah mampu milik oleh pemilik asal kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan ini adalah langkah terbaik bagi mengawal harga dan pemilikan rumah bagi golongan yang tidak layak membeli rumah mampu milik.

"Kita sedang rangka SOP dan kaedah terbaik termasuklah daripada segi penetapan harga yang mana kerajaan boleh beli balik bagi memastikan ia tidak dijual pada ‘pasaran terbuka’ bagi meraih keuntungan," katanya. - Bernama