Salahuddin tidak campur tangan siasatan SPRM

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan Setiausaha Politik beliau.

Menurut satu kenyataan, beliau berkata, proses undang-undang akan dilaksanakan bagi membolehkan kes itu disiasat.

“Saya telah dimaklumkan setiausaha politik saya telah ditahan pada hari ini oleh pihak SPRM untuk siasatan.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak SPRM dan saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya,” katanya.

Salahuddin berkata, pegawainya itu juga seperti rakyat Malaysia yang lain yang tertakluk kepada undang-undang.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang dan saya yakin dan percaya pihak SPRM akan menyiasat kes ini dengan adil dan bebas,” jelas beliau.

Hari ini SPRM, menahan lelaki berusia 47 tahun bagi membantu siasatan berhubung penerimaan jam tangan mewah bernilai kira-kira RM28,000.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan setiausaha politik terima suapan jam RM28,000

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, lelaki itu ditahan sekitar jam 5 petang tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sumber memberitahu pemberian jam itu dipercayai sebagai dorongan daripada sebuah syarikat untuk membolehkan projek di bawah kementerian berkenaan dapat dibangunkan.

Siasatan awal mendapati jam itu bernilai tinggi dan sebagai hadiah kepadanya berkemungkinan bertujuan untuk memperoleh projek kementerian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek pagi esok di Mahkamah Majistret Putrajaya.