Kes kemalangan maut, kematian meningkat di Pahang

Kes kemalangan maut di Pahang meningkat 36.5 peratus sehingga 19 Julai lalu. - Foto hiasan (Gambar kecil: Ramli)
Kes kemalangan maut di Pahang meningkat 36.5 peratus sehingga 19 Julai lalu. - Foto hiasan (Gambar kecil: Ramli)
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pahang merekodkan sebanyak 11,951 kes kemalangan dalam tempoh Januari hingga 19 Julai tahun ini sekali gus meningkat sebanyak 54 peratus berbanding 7,759 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lebih membimbangkan apabila kes kemalangan maut turut meningkat sebanyak 57 kes atau 36.5 peratus dengan 213 kematian berbanding 156 kes kemalangan maut dengan 168 kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 170,747 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan tahun ini dengan nilai kompaun RM2.3 juta.

"Bagi tempoh sama tahun lalu, sebanyak 136,482 saman telah dikeluarkan melibatkan nilai kompaun RM4.9 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Pahang di Kem Bukit Galing,Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini pada Rabu.

Ramli berkata, polis kontinjen Pahang akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kes kemalangan di negeri ini melalui tindakan penguatkuasaan selain meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pemanduan yang lebih berhemah.

"Selain itu, kita juga akan memberi perhatian terhadap isu mat rempit bagi mengelak tragedi seperti yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini yang telah mengorbankan lima nyawa.

"Kegiatan itu turut berlaku di negeri ini terutama di Kuantan di mana beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan golongan itu beraksi," katanya.

Menurutnya, pemantauan dan operasi sentiasa dijalankan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di lokasi-lokasi tersebut.

"Pada masa sama, kita juga memberi tumpuan di kawasan lebuh raya bagi memantau kehadiran konvoi bermotosikal yang sering melakukan aksi berbahaya," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, seramai 261 penerima dianugerahkan pingat PJPN Kontinjen Pahang pada istiadat itu melibatkan 248 kategori pesara polis dan 13 pegawai serta anggota polis yang masih berkhidmat.

Ramli menyampaikan pingat PJPN kepada salah seorang penerima di Kem Bukit Galing, Briged Tenggara PGA, Kuantan pada Rabu.
Ramli menyampaikan pingat PJPN kepada salah seorang penerima di Kem Bukit Galing, Briged Tenggara PGA, Kuantan pada Rabu.

Menurutnya, seramai 1,877 pesara dan pegawai polis telah dianugerahkan PJPN Kontinjen Pahang sejak tahun 2015.

"Daripada jumlah itu, 1,007 penerima bagi kategori pesara dan 870 penerima dalam kalangan pegawai dan anggota yang masih berkhidmat.

"Seramai 234 penerima menerima anugerah pingat itu pada tahun 2015, 2018 (257 penerima), 2019 (857 penerima dalam kalangan pegawai dan anggota masih berkhidmat), 2022 (261 penerima) dan 268 penerima dalam penyerahan tanpa istiadat" katanya.

Beliau berkata, pingat PJPN dianugerahkan sebagai menghargai jasa warga PDRM yang telah bersara dan masih berkhidmat atas jasa bakti mereka kepada negara.