Bukit Wang kembali meriah

Kerja naik taraf yang dilakukan membantu tarik pengunjung ke kawasan ini.
A
A

JITRA - Setelah beberapa tahun sepi tanpa kehadiran pengunjung, Taman Eko Rimba Bukit Wang Mukim Malau di sini kembali meriah dengan pengunjung yang mandi dan beriadah di kawasan ini.

Sejak dipulihara oleh Jabatan Perhutanan negeri Kedah, November lalu, taman eko ini mula menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu.

Tinjauan Sinar Harian pada pagi semalam mendapati pengunjung mulai memasuki kawasan ini sekitar jam 9 pagi.

Ada yang mandi sambil berkelah, ada yang memancing. Tetapi yang nyata suasana pada hari ini sangat berbeza berbanding tahun lalu, sebelum ia diselenggara dengan baik.

Menurut seorang peniaga yang juga penduduk Kampung Padang Panjang di sini, Nang Fatimah Nik Ali, 40, kawasan berkenaan mulai menjadi tumpuan pengunjung luar Kedah sejak bermulanya musim cuti sekolah.

Katanya, hari kemuncak adalah pada Jumaat, Sabtu dan Ahad yang mana pengunjung mengambil peluang pada hujung minggu untuk beriadah.

"Sejak mula tular di facebook yang Bukit Wang dah boleh mandi, orang memang tak putus-putus mai sini.

"Ramai kata sini dekat, sebab tu depa kata lebih baik mai kat sini dari nak pi mandi tempat lain," katanya yang mula berniaga sejak dua minggu lalu.

Seorang pengunjung dari Alor Setar, N Saravanan, 41, berkata, dia pernah berkunjung ke taman eko ini pada awal tahun lalu.

"Tapi masa saya mai, kawasan ni sangat teruk, jalan becak dan berlubang sana sini.Tak ada pengunjung pun masa tu, cuma saya dan isteri saja.

"Baru-baru ni bila saya tengok dalam Youtube orang kata sini dah boleh mandi, saya mai la hari ini," katanya.

Taman eko ini juga menjadi lokasi kegemaran kaki pancing yang meminati spesies haruan kedak dan ikan laga bukit.

Seorang pemancing, Khairul Hazman Junos, 40, berkata, sebelum ini dia lebih gemar mencari spesies berkenaan di Puncak Janing, Kuala Nerang.

"Sebelum ini kan macam-macam khabar angin kita dengar kat Bukit Wang ni, ada yang kata kencing tikus dan sebagainya. Tapi sejak tular katanya dah boleh masuk semula ke sini, saya pun tertarik nak cuba mancing kat sini bersama anak (Hariz Zariff, 9)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah, Datuk Mohd Nasir Abu Hassan berkata, pemuliharaan kawasan ini terbahagi kepada dua fasa yang melibatkan kos sebanyak RM800,000.

Katanya, kerja- kerja baik pulih yang tamat pada bulan lalu melibatkan jalan masuk pintu hadapan yang rosak akibat kejadian kepala air.

"Selain itu, kita juga menaik taraf bahagian masuk jalan belakang taman eko rimba iaitu kerja-kerja penurapan jalan bagi memudahkan perjalanan masuk menggunakan kenderaan.

"Secara umumnya kerja-kerja yang telah dilaksanakan ini lebih kepada pembaikan jalan dan kerosakan infrastruktur lain yang disebabkan fenomena kepala air," katanya.