Tidak mustahil prosiding perbicaraan kes Najib disiarkan secara langsung

Hanipa Maidin
Hanipa Maidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak mustahil sekiranya prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipancarkan secara langsung, namun urusan itu di bawah bidang kuasa legislatif bukannya kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, sekiranya pendakwa atau peguam bela mana-mana pihak boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk menyiarkannya secara langsung di stesen televisyen tempatan.

“Siaran langsung perbicaraan Najib itu mahkamah, hakim yang tentukan bukan kerajaan.

“Isu sokong tak sokong tak timbul, isunya ini adalah ini keputusan mahkamah, maknanya kena buat permohonan, mahkamah tentukan.

"Kerajaan tidak mahu masuk campur, ini urusan mahkamah,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Menurutnya, meskipun Malaysia belum pernah menyiarkan sebarang siaran langsung perbicaraan, bagaimanapun perkara ini tidak mustahil untuk kes Najib jika mendapat kelulusan mahkamah.

“Setakat ini, di Malaysia belum pernah ada siaran langsung kes perbicaraan, yang ada di Amerika Syarikat.

“Tapi tidak mustahil, boleh berlaku (siaran langsung). Tapi saya harap ada yang buat permohonan, terpulang kepada mahkamah untuk buat keputusan.

Artikel Berkaitan:

“Permohonan itu kalau pendakwa tak bantah, lagi mudahlah. Kalau permohonan ada bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, mahkamah akan dengar bantahan tersebut,” jelas Ahli Parlimen Sepang itu.

Hanipa menambah, sekiranya wujud permohonan untuk menyiarkan prosiding perbicaraan, pemohon harus menyatakan sebab untuk siaran langsung.

“Mungkin juga mahkamah arahkan pemohon buat permohonan dengan afidavit, maka, pemohon wajar ada fakta untuk menyokong bantahan yang timbul.

"Tapi saya tidak mahu berspekulasi, terpulang kepada mahkamah,” katanya.

Sebahagian rakyat Malaysia menandatangani petisyen agar perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan Najib pada Rabu ini disiarkan secara langsung.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, rakyat Malaysia menandatangani petisyen atas talian di Change. Orang yang telah bermula sejak sembilan bulan lalu agar perbicaraan itu disiar secara langsung.

Terkini, terdapat 32,370 pempetisyen menuntut perkara itu dilaksanakan.

Sementara itu, peguam utama Ahli Parlimen Pekan, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah cadangan supaya kes itu disiarkan secara langsung malah menyifatkan perkara itu suatu idea yang bagus.

Najib yang akan dibicarakan berhubung kes berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC International) lusa sokong cadangan itu kerana rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran berhubung kesnya itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memberitahu tiada sebarang masalah jika perbicaraan bekas Presiden UMNO yang berdepan tujuh tuduhan disiarkan secara langsung, Rabu depan.