Amanah pecat ahli bantu kempen Mohd Nor

Zulkefly (tengah) pada sidang media.
Zulkefly (tengah) pada sidang media.
A
A
A

SEREMBAN - Pemimpin dan ahli Amanah yang didapati bekerjasama atau membantu kempen calon Bebas, Mohd Nor Yassin akan dipecat serta merta.

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Datuk Zulkifly Mohamad Omar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan ahli yang berbuat demikian kerana sama seperti menyeleweng parti yang telah pun memilih Dr S Streram sebagai calon.

"Mohd Nor cuma ahli biasa Amanah yang menyertai parti pada 10 Mac lalu semasa kita mahu menghadapi PRK, saya sendiri pun tak tahu kemasukannya sebagai ahli Amanah.

"Bila kita tahu dia bertanding Bebas, parti buat keputusan pecat keahliannya berkuatkuasa Sabtu lalu dan pemimpin atau ahli Amanah yang membantunya (berkempen) turut akan dipecat," katanya pada satu sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.

Menurutnya, meskipun Mohd Nor bukan 'orang besar' dalam politik, namun tindakannya sedikit sebanyak mengganggu persediaan parti itu dalam membantu calon PH di DUN Rantau.

Katanya, pihaknya juga menafikan dakwaan Amanah cuba sabotaj calon PH dengan menampilkan Mohd Nor sebagai calon Bebas.

"Kita tidak teragak-agak ambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan maklumat palsu itu.

"Amanah juga akan terus memperkuatkan gerak kerja dan yakin pengundi DUN Rantau akan menyokong calon PH memandangkan telah banyak lerubahan dibuat sejak PH ambil alih kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tindakan Mohd Nor, 67, bertanding Bebas pada PRK DUN Rantau menimbulkan kontroversi kerana beliau bekas calon Pas dalam PRU13 di kerusi DUN Gemencheh.

Pada masa sama beliau mengaku masih lagi ahli Pas sedangkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan Mohd Nor bukan lagi ahli parti itu kerana telah menyertai Amanah.