Kawasan industri perlu ada data dasar kualiti udara

Abdull Rahim
Abdull Rahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kawasan perindustrian di Pasir Gudang memerlukan data dasar kualiti udara bagi mengesan kandungan bahan kimia atau gas.

Ketua Unit Jawatankuasa Saintifik Bencana Pasir Gudang, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff berkata, gas dan bahan kimia terdapat dalam udara berbeza-beza mengikut kawasan.

"Kualiti udara di kawasan di sini berbeza dengan Johor Bahru. Johor Bahru tiada industri. Pasir Gudang dengan Senai pun lain.

"Di Senai banyak industri elektronik tapi Pasir Gudang banyak kilang kimia jadi banyak perkara perlu diperhalusi," katanya kepada pemberita pada Program Pendekatan Jawatankuasa Bencana bersama Pejabat Pendidikan Pasir Gudang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru, di sini, hari ini.

Beliau juga melihat kepentingan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memiliki alat mengesan gas dan bahan kimia di udara kerana difahamkan setakat ini hanya pihak kilang tertentu memiliki indikator kualiti udara tersebut.

Antara pemegang taruh yang hadir pada sesi taklimat pasca bencana pencemaran kimia Sg Kim Kim.
Antara pemegang taruh yang hadir pada sesi taklimat pasca bencana pencemaran kimia Sg Kim Kim.

"Jadi kalau ada kes mereka (kilang) boleh kata tiada apa-apa (pada indikator mereka). Kalau saya tanya apa yang ada di sini (kandungan udara), saya fikir tiada siapa boleh jawab.

"Kita tak ada data dasar (baseline data). Maksudnya sebelum bermula apa-apa, kita tiada data dasar. Kita tidak tahu apa yang ada dalam udara itu. Kilang-kilang yang beroperasi ketika tidak ada kes, kita tak tahu apa dasar datanya," katanya

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuat penerangan berkenaan kes pencemaran kimia di Sungai Kim Kim kepada guru-guru, pelajar dan ibu bapa yang hadir ke SMKA Johor Bahru.

Menurutnya sesi itu penting bagi meyakinkan pemegang taruh termasuk pelajar bahawa kualiti udara sudah pulih dan selamat.