Mitos Cina kaya

A
A
A

KEBANYAKAN orang Melayu amat iri hati dengan orang Cina di negara ini.

Orang Melayu amat terasa kerana difikirkan bahawa mereka adalah anak Bumiputera Tanah Melayu tetapi terpaksa ‘merempat’, makan malam di Restoran Dol Tomyam manakala orang-orang Cina selesa di tempat makan eksotik Barat - nak sebut nama-nama restoran pun saya sendiri tak tahu!

Dalam artikel kali ini saya ingin mengajak orang Melayu merenung sejarah perbandaran dan ekonomi Malaysia serta menyingkap tabir kehidupan orang Cina yang bertungkus-lumus membina empayar ‘kekayaan’ mereka.

Soalan yang bakal ditanya adalah, apakah ‘tipu helah’ atau muslihat atau jampi mentara yang dipakai orang Cina sehingga mereka jadi lebih kaya daripada orang Melayu?

Saya pernah terbaca sebuah cerita tentang Munsyi Abdullah dalam buku Pelayaran Abdullah. Pada suatu hari, Abdullah terserempak dengan Stamford Raffles yang sedang memberi arahan kepada pekerja-pekerja mengukur dan menyusun lot-lot tanah di sebuah kawasan di Singapura.

Apabila Abdullah bertanya Stamford Raffles apa yang sedang dibikinnya, Stamford menjawab bahawa ini adalah lot-lot rumah atau kedai dalam bandar yang baru dirancang.

Abdullah terperanjat kerana bagi beliau bagaimana boleh seseorang itu membina rumah pada lot tanah 24 kaki balas 100 kaki? Tanah sekangkang kera sebegini nak dibuatnya rumah?

Dalam fikiran Abdullah tidak terlintas konsep ‘kehidupan di bandar’ dan beliau juga tidak memahami konsep ekonomi baharu.

Artikel Berkaitan:

Apabila Abdullah menyuarakan kehairanan ini kepada Stamford Raffles, beliau hanya tertawa dan menyuruh Abdullah pergi dan menempah beberapa petak lot kerana pada masa hadapan petak-petak ini akan bernilai tinggi.

Munsyi Abdullah tidak berbuat demikian kerana beliau sendiri telah mempunyai berbidang-bidang tanah pusaka.

Seperti keluarga Melayu yang lain, orang Melayu adalah masyarakat yang kaya dengan keluasan tanah di kampung-kampung dan sumber pertanian adalah ekonomi utama.

Tetapi selang beberapa dekad, orang Putih memperkenalkan ekonomi baharu yang berpusat dalam bandar-bandar yang tanah lotnya ‘sekangkang kera' setiap satu.

Orang Cina tiada pilihan untuk membeli tanah kecuali yang ditawarkan di bandar dan apa yang sedikit dimanfaatkan dengan membina rumah kedai bertingkat dua atau tiga dan pada zaman moden hingga tingkat 30.

Siapakah yang menjadi kaya? Orang Melayu terlepas peluang kerana seperti Abdullah, mereka fikir mereka telah sempurna dengan rumah kampung dan sawah ladang.

Orang Melayu tidak mahu bertanya tentang konsep ekonomi baharu yang berpusat kepada pembelian barangan di kedai dan perkhidmatan untuk pelbagai keperluan moden.

Maka itu, orang-orang Cina yang membeli lot-lot sekangkang kera menjadi kaya-raya setelah tiga empat dekad berlalu di mana tanah di bandar melambung naik harganya.

Janganlah orang Melayu salahkan orang putih atau tipu helah sesiapa tetapi kedangkalan pemikiran mereka semata-mata.

Begitu jugalah senario ekonomi sekarang, orang Melayu masih menaruh harapan BRIM atau kerajaan untuk menjaga kepentingan mereka.

Maka itu bolehlah dirumuskan bahawa kekayaan negara bertukar tangan daripada tuan-tuan tanah kampung kepada tuan-tuan lot-lot kedai di bandar kerana sistem perbandaran moden dan ekonomi baharu yang diperkenalkan orang puteh, bukannya jampi atau tipu helah Cina.

Dalam cerita yang lain pula, orang Cina menjadi kaya dengan kegigihan mereka mempelajari kemahiran baharu dan bekerja bertungkus-lumus untuk menghasilkan produk yang berkualiti.

Saya ceritakan suatu kisah sejarah kecil kedai menjahit di Kuala Lumpur seperti berikutnya.

Kwong Fook Wing ditubuhkan pada tahun 1915 oleh Kwong Keng Cheok yang berasal dari Toi San (Sunning) di Wilayah Guangdong, China.

Perniagaan ini bermula di Jalan Sultan sehingga ia dipindahkan ke lokasi masa kini. Keng Cheok mendapat kontrak menjahit pakaian lelaki sut dari John Little & Co dan Robinson & Co - dua buah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur ketika itu.

Keng Cheok mengasah kemahirannya dan mendapatkan lebih banyak kontrak lagi. Apabila bersara, perniagaan ini diwariskan kepada anak lelakinya Peng Koon yang membesarkan lagi perniagaan keluarganya.

Pelanggan Kwong Fook Wing di bawah Peng Koon, termasuk pegawai Tertinggi British seperti Sir Gerald Templer, Sir Harold Briggs dan Sir Donald McGillivray.

Pegawai kakitangan kerajaan, pegawai-pegawai kanan polis, ahli-ahli eksekutif perniagaan, ahli-ahli politik menjadi pelanggan utamanya.

Termasuk juga sebagai pelanggan adalah Yang di-Pertuan Agong dan sultan-sultan seperti Tuanku Ismail Nasirrudin Shah dan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah apabila berkunjung secara rasmi ke Britain pada tahun 1974. Peng Koon juga membuat pakaian Tun Abdul Razak.

Kedai ini diwariskan pada tahun 1997 kepada anak lelaki Peng Koon, Kim Lyew, yang mengembangkan perniagaan dengan membuat pakaian kehakiman Malaysia dan pelanggan luar negara.

Kim Lyew dikurniakan Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang pada tahun 2013 bagi mengiktiraf kejayaan dan kemahiran serta dedikasinya. Kim Lyew masih lagi menjalankan warisan moyangnya sehingga kini.

Dalam kisah sejarah kecil di atas dapat disimpulkan bahawa orang Melayu golongan aristokrat sendiri yang memperkayakan orang Cina kerana hanya mereka yang sanggup mempelajari cara menjahit pakaian baharu seperti sut dan pakaian seragam polis dan sebagainya.

Mungkin ketika itu orang Melayu masih berbangga dengan baju Melayu dan sampingnya tetapi dunia telah berubah dan pemimpin Melayu pun sudah pakai sut dan uniform!

Pendek cerita, orang Melayu jangan iri hati terhadap kekayaan yang dimiliki kaum Cina kerana ia adalah proses pembaharuan kehidupan dalam sejarah dan juga nilai ketekunan serta penyertaan kaum itu dalam dunia moden.

Adakah orang Melayu kini masih terperangkap dengan kekolotan, kesombongan serta kebakhilannya sendiri dalam era Industri 4.0 ini?

Adakah orang Melayu ingin menyisihkan dunia selain Islam dengan duduk di bawah nilai konservatif ulama yang tidak berpendidikan pelbagai serta pendidikan STEM atau kini STREAM? Patutkah sejarah berulang kembali wahai Melayu?

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan