TNB peruntuk RM5 juta aktiviti tanam pokok seluruh negara

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyempurnakan aktiviti menanam pokok sebagai gimik perasmian Program Pemuliharaan Ekosistem Zon Penampan TNB dan MBK di Pantai Chendor, Kuantan pada Isnin.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyempurnakan aktiviti menanam pokok sebagai gimik perasmian Program Pemuliharaan Ekosistem Zon Penampan TNB dan MBK di Pantai Chendor, Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menanam dan menaja lebih 67,500 anak benih pelbagai spesies pokok di seluruh negara sejak tahun 2009.

Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata, bagi tujuan itu, TNB telah menyediakan peruntukan lebih RM5 juta dalam tempoh 13 tahun tersebut.

Menurutnya, selain dilakukan kakitangan TNB sendiri, aktiviti menanam pokok turut dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Program penanaman pokok bagi pemuliharaan alam sekitar tidak asing bagi TNB kerana aktiviti itu telah dilaksanakan sejak dahulu terutama di kawasan stesen janakuasa seluruh negara.

"Selain itu, TNB juga memberi fokus terhadap pemuliharaan alam sekitar sebagai antara pengisian tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti penggantian pokok di kawasan talian penghantaran dan menghijaukan taman awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Pemuliharaan Ekosistem Zon Penampan TNB dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pusat Rekreasi Pantai Chendor di sini pada Isnin.

Baderul Sham (kanan) menyerahkan replika cek peruntukan Program Pemuliharaan Ekosistem Zon Penampan kepada Hamdan sambil disaksikan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Wan Rosdy di Pantai Chendor, Kuantan pada Isnin.
Baderul Sham (kanan) menyerahkan replika cek peruntukan Program Pemuliharaan Ekosistem Zon Penampan kepada Hamdan sambil disaksikan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Wan Rosdy di Pantai Chendor, Kuantan pada Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Pada program tersebut, sebanyak 1,000 pokok ru ditanam di kawasan pantai itu.

Baderul Sham berkata, TNB juga turut melaksanakan aktiviti menanam pokok di pesisiran pantai dan kawasan pembiakan kelip-kelip di Koridor Laluan Hijau iaitu Laluan Hidupan Liar.

"Sempena Program Pemuliharaan Ekosistem Zon Penampan ini, TNB menyumbang sebanyak 3,300 anak pokok pelbagai spesies untuk ditanam di lapan lokasi di kawasan pesisir pantai dan sungai di daerah ini," katanya.

Sementara itu, Baderul Sham berkata, pihaknya juga telah menanam lebih 12,000 anak pokok teduh pelbagai spesies di 12 taman awam di semenanjung termasuk di Taman Pasif Kuantan melalui inisiatif Program Tree For Tree.

"Selain itu, 23,700 anak benih pokok bakau ditanam di Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Tambah beliau, inisiatif berterusan yang dijalankan itu seiring dengan komitmen TNB terhadap isu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Ia sekali gus membantu meningkatkan kepelbagaian spesies flora dan fauna serta menyediakan habitat baharu untuk hidupan liar serta mencegah hakisan pantai dalam jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, Hamdan berkata, program yang dilaksanakan itu salah satu usaha dalam memupuk kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

"Ia juga sebagai peringatan kepada masyarakat supaya tidak merosakkan pokok termasuk di kawasan pantai yang berfungsi sebagai lindungan semula jadi bagi mengurangkan kesan hakisan akibat ombak.

"Melalui program ini, MBK telah menerima peruntukan sebanyak RM115,500 daripada TNB untuk aktiviti penanaman pokok pelbagai spesies di perairan pantai serta sungai di daerah ini," katanya.