Yadim masih tewas?

A
A

BILA sebut sahaja kalimah dakwah, apakah yang terlintas di minda anda? Ceramah agama, street dakwah, kutip zakat, makanan halal, nasyid, dialog interfaith?

Bagi rakyat multibudaya, imej dakwah ditewaskan oleh konotasi terorisme, anti-anjing/babi, potong tangan, taasub pada tuan guru, anti-hak asasi kemanusiaan, ketuanan bangsa dan bohong halal!

Saya gembira mendengar berita bahawa Al-Fadhil Ustaz Nik Omar, anak kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, kini memimpin Yadim.

Personaliti beliau yang “gentleman” menyerupai ayahnya sudah tentu tidak akan menghalalkan rasuah dalam dakwah atau bohong politik.

Bahkan kalau personaliti ini diletakkan pada tempat yang sewajarnya, sudah pasti akan memperkasakan dakwah atas wacana yang baru lebih bersifat rahmah lil-’aalamiin.

Persoalannya ialah dakwah bukan usaha individu. Nabi Isa as tidak mampu ubah kaumnya kerana kaumnya sendiri tidak mahu berubah.

Bahkan sahabat-sahabat baginda sendiri tidak cukup kuat dan kreatif. Ada pula yang mengkhianati baginda!

Dakwah adalah “teamwork”. Kejayaan Nabi Muhammad SAW adalah kerana baginda memiliki team yang kompetitif, mampu bersaing dalam masyarakat majmuk seperti Abu Bakr yang pakar dalam ilmu nasab kabilah-kabilah Arab yang amat penting dalam penyatuan Jazirah Arab, Umar yang selalu berfikir kreatif luar kotak, Uthman yang disokong oleh kabilah Bani Umayyah yang memonopoli dunia perdagangan, Ali pemuda yang mengaum umpama Singa, Khalid pakar strategis perang, Bilal suara hak asasi kemanusiaan, Saodah isteri yang berhikmah mampu memberi nasihat bernas kepada Nabi dan terlalu ramai kepakaran yang lain.

Timbul persoalan sejauh manakah Ustaz Nik Omar memiliki team yang kompetitif? Yadim kelihatan terlalu lembap, tidak padan dengan modal kewangan yang dimilikinya.

Selama ini, Yadim gagal mencipta pengaruh dalam masyarakat majmuk. Kita bandingkan dengan Macma Ipoh yang berjaya menyatukan NGO-NGO Muslimin dengan lebih daripada 20 NGO-NGO Cina bukan Muslimin. Bila Macma Ipoh buat program, ramai terkejut kerana majoriti yang hadir adalah Cina bukan Muslimin!

Tetapi KPI Yadim patut lebih daripada sekadar dibandingkan dengan Macma Ipoh yang hanya sebuah cawangan NGO “mualaf”.

Yadim patut dibandingkan dengan AIPAC (American Israel Public Affairs Committee).

Ini adalah kerana misi Yadim seperti yang tercatat dalam visi misinya ialah secara ringkasnya melahirkan “khairu ummah”.

Label khairu ummah bukan sebarang status. Ayat penuhnya ialah khairu ummah ukhrijat lin-naas yang bermaksud umat terbaik yang diutuskan untuk manusia, bukan sekadar untuk Muslimin.

Yadim gagal dalam misinya jika dakwahnya hanya membawa wacana bela maslahat Muslimin sahaja.

Bagaimana mungkin Yadim guna frasa khairu ummah sedangkan ia tidak mampu melahirkan pendakwah-pendakwah yang mampu bersaing dalam dunia multibudaya?

Kalau wacana Yadim ditewaskan oleh wacana AIPAC, maka Yadim tidak layak untuk dakwa bahawa ia berjaya menghasilkan pendakwah-pendakwah dalam kalangan khairu ummah.

AIPAC adalah pertubuhan Zionis yang menjaga maslahat Yahudi sahaja, bukan manusia sejagat. Dari segi misi sepatutnya sudah cukup meletakkan Yadim sebagai pertubuhan yang lebih mampu meraikan sokongan rakyat multibudaya.

Tetapi apakah langkah-langkah Yadim ke arah bersaing dengan AIPAC? Apa guna Yadim bertakbir lawan Israel tetapi tiada langkah-langkah yang pragmatis untuk menunjukkan model perjuangan lin-naas yang lebih hebat daripada AIPAC?

Siapakah umat terbaik, siapakah patut jadi khalifah di muka bumi Zionis atau Muslimin?

Saya teringat bagaimana pendakwah-pendakwah seperti Tjokroaminoto, Samanhudi, Ahmad Dahlan di Indonesia berkumpul, walaupun beza aliran pemikiran, pada tahun 1911 untuk membincangkan bagaimana memperkasakan umat Islam sehingga mereka mampu menandingi penjajah dari segi ilmu, ekonomi dan kekuatan fizikal.

Pendakwah-pendakwah ini akhirnya melahirkan pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia. Mereka ini juga menerajui perjuangan untuk mengembalikan Khilafah selepas Khilafah Uthmaniyyah jatuh.

Kemampuan pejuang-pejuang mereka terbukti bila mereka menang peperangan Surabaya menewaskan Belanda dan Inggeris yang berusaha menjajah semula Indonesia selepas Jepun menyerah kalah.

Saya berdoa insyaAllah, kepimpinan Ustaz Nik Omar yang baru ini dengan kerjasama YB Dr Mujahid akan membina wacana khairu ummah yang benar-benar kompetitif di Yadim.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.