Skuad Harimau harus selari ‘rentak K-Pop‘

Skuad negara meraikan kejayaan muncul juara Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Indonesia pada Jumaat lalu.
Skuad negara meraikan kejayaan muncul juara Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Indonesia pada Jumaat lalu.
A
A
A

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada skuad bola sepak Bawah 19 (B-19) tahun negara kendalian Hassan Sazali Waras atas kejayaan mereka muncul juara B-19 AFF 2022 di Indonesia pada Jumaat lalu.

Sudah tentu nama Hassan yang juga bekas penolong jurulatih skuad Harimau Malaya menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan dek sentuhannya yang membawa barisan pemain muda negara mengecapi nikmat selaku sang juara.

Kejayaan itu membuktikan program pembangunan bola sepak negara masih berada di laluan yang betul. Paling penting, ia memberi petanda masa depan bola sepak Malaysia tidak semalap seperti yang disangka sebelum ini.

Tetapi dalam membicarakan soal kejayaan pemain remaja B-19 yang dianggap pelapis masa depan Harimau Malaya suatu hari nanti, peminat sukan bola sepak negara tidak boleh lari daripada bercakap tentang status pengendali baharu skuad B-23.

Kerusi pengendali skuad B-23 negara secara rasmi kembali kosong pada Rabu lalu selepas jurulatih kelahiran Australia, Brad Maloney dilepaskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Perkhabaran di Wisma FAM itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum itu sudah timbul desas-desus Maloney akan ditunjukkan jalan keluar susulan prestasi hambar skuad kendaliannya dalam beberapa kejohanan tahun ini.

Ketika ini, beberapa nama disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengendali baharu skuad B-23. Antaranya dua penolong jurulatih skuad Harimau Malaya iaitu E Elavarasan dan Pau Marti Vicente.

Malah, di laman media sosial pula bertebaran beberapa nama calon yang dikaitkan dengan Harimau Muda termasuklah pengendali skuad Olimpik Korea Selatan, Kim Hak-bum - jurulatih kelahiran Korea Selatan berusia 61 tahun.

Umpama bola di kaki FAM, kini terpulang kepada badan induk bola sepak negara itu dalam menentukan siapa lebih layak membimbing skuad B-23, sama ada jurulatih tempatan atau sekali lagi menyandarkan harapan kepada tenaga luar.

Dalam hal ini, FAM tidak boleh mengetepikan suara pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon. Sebaik-baiknya barisan kejurulatihan skuad B-23 yang akan dilantik nanti mempunyai falsafah yang sama dengan Pan-gon.

Pan-gon sudah membuktikan sentuhannya. Jadi tak salah rasanya jika FAM terus memberikan kepercayaan pula kepada jurulatih dari Korea Selatan membimbing Harimau Muda.