Aktiviti pembakaran terbuka terkawal di Johor

Mohd Jafni (dua kanan) beramah mesra dengan ketua-ketua balai diiringi Yahaya sempena lawatan kerjanya ke BBP Larkin, Johor Bahru.
Mohd Jafni (dua kanan) beramah mesra dengan ketua-ketua balai diiringi Yahaya sempena lawatan kerjanya ke BBP Larkin, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Aktiviti pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini di negeri ini masih lagi terkawal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, pihaknya menerima purata tujuh atau lapan panggilan kecemasan sehari berhubung insiden pembakaran terbuka.

"Cuaca memang panas, tetapi insiden pembakaran terbuka masih terkawal mungkin kerana beberapa faktor seperti kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat dan juga pemantau oleh pihak berkuasa.

"Dalam persekitaran negara kita, majoriti pembakaran terbuka adalah berpunca daripada individu kerana tidak banyak kejadian pembakaran terbuka yang berlaku disebabkan oleh cuaca panas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja Rasmi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin di sini pada Ahad.

Katanya, kebanyakan insiden pembakaran terbuka yang berlaku di negeri ini tidak berpanjangan kerana pegawai dan anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi dapat mengawal keadaan dengan pantas.

"Kita juga telah menjalankan ujian dengan membaling puntung rokok ke kawasan semak dan memang tiada berlaku kebakaran. Jadi jika ada pembakaran terbuka ia memang disebabkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.