Bot terbalik: Pemancing ditemukan maut terapung

Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 8 pagi oleh pasukan penyelamat.
Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 8 pagi oleh pasukan penyelamat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kehilangan seorang pemancing selepas bot dinaikinya terbalik di Sungai Durian Chondong, Muar sejak semalam akhirnya terjawab selepas lelaki itu ditemui lemas, pagi tadi.

Mayat mangsa, Masri Ahmad, 38, ditemui dalam keadaan terapung pada jam 8 pagi kira-kira satu kilometer dari lokasi bot dinaiki bersama dua lagi rakannya itu terbalik.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.34 pagi semalam.

"Kita menerima panggilan kecemasan pagi semalam sebelum operasi cari dan menyelamat (SAR) dilakukan bersama 10 anggota untuk mencari mangsa.

"Maklumat awal kita menerima laporan kejadian lemas melibatkan sebuah bot yang dinaiki tiga pemancing terbalik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian dua mangsa dilaporkan berjaya menyelamatkan diri selepas berenang ke tebing manakala seorang lagi hilang.

"Operasi SAR yang dilakukan menggunakan pendekatan 'surface searching'. Kami turut dibantu penyelam dari Pasukan Penyelam di Air (PPDA) dalam radius 150 meter daripada lokasi mangsa terjatuh.

"Kami kemudiannya menutup operasi mencari semalam pada jam 7.35 malam kerana keadaan cuaca dan keadaan persekitaran yang gelap. Operasi SAR kemudiannya disambung pagi tadi sebelum menemui mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairul berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.